Friday, February 1, 2013

Insan Khuatir






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Insan Khuatir


pawana yang mendayu silir-semilir
meninjau dari celah gunung-gemunung
menampakkan riak bakal menderu:
insan  khuatir
sangsi lahir ribut taufan!
namun . . . hati secebis degil meronta-ronta;


danau yang hening selama ini
berkocak semula pawitranya
mirip jantung bertambah darah:
insan  khuatir
bimbang  denyutan mencipta resah!
tapi . . . gelora menggila terus-terusan;


andainya
deruman hujan yang mencurah-curah
semena-mena teragak beralah
suria kembang mengambil alih
lenyap kilat yang sabung-menyabung
merajuk  guntur  yang melaung-laung:
insan  khuatir
takdirnya  ‘biduk  lalu kiambang bertaut’
ke mana akan diri dibawa
menumpang kehangatan pawaka raksasa?
tapi . . .
ragu pula silau cahaya
takut mengganas kelak habanya;


sedang lamunan sesat mengembara
terperangkap satu maya yang liar:
“insan yang khuatir
contohilah mega yang bergerak-gerak,
Berpawai!”




Bamuda    
dsuarang.blogspot.com

Thursday, January 31, 2013

Pena dan Tinta






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Pena dan Tinta


jauh di lubuk hajat
terpendam cita-cita unggul
mahu berkat
jadi manusia perasa
ikhlas berkecimpung
dalam alam pena dan tinta
walaupun tidak mungkin setaraf mereka
garuda dunia sastera


andai terdaya
dengan kail yang cuma sejengkal
ke dasar laut ingin diduga
walaupun tidak mungkin nama diukir
setanding mereka
jaguh-jaguh budaya bangsa


aku tahu
sejadah penyair tidak sentiasa baldu
kiblat menghala seribu liku
jalan merata duri sembilu
aku juga tahu
banyak cara kecewa melanda
kepalang tegap tenggelam punca


biar aku biarkan
akal terus merangka
bibit-bibit rasa . . .
tangan terus melakar
bait-bait segar . . .
sambil berdoa pena dan tinta
akan terus berkesanggupan
menghiaskan mimbar tatapan
dengan titis-titis warna kepuasan




Bamuda
dsuarang.blogspot.com 



Sunday, January 27, 2013

Api






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Api


lahir mu hamba
kecil mu teman
cocok dibuat kawan
tidak sial
terkawal


detik diisytihar berkuasa
kau bongkak
marak menyala
merah garang
liar menjalang


kerap kau jadi mainan
manusia gila
yang tidak kenal neraka
sungguhpun mereka tahu:
            api
            kau bukan satu-satu
            yang boleh dibawa berjanji . . .


galak kau jadi pusat tumpu
masyarakat kelekatu
yang mabukkan keindahan
terpukau dengan cahaya tarikan
api . . .
asyik dilamun fantasi
hingga hangus membakar diri


api
tak puas-puas ganas
menyerang, meruntuh, melumpuh
membakar segala-gala
jadi abu
jadi debu



Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Saturday, January 26, 2013

* Masa dan Kematangan



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Colour Colour ?


Kadang-kadang manusia alpa akan peredaran dan kemampuan perlakuan masa. 

Setiap detik yang berlalu menambahkan 'ketuaan' manusia melalui proses 'penuaan' yang ditentukan Allah swt. Ini pasti!

Setiap detik yang berlalu juga seharusnya menambahkan 'kematangan' manusia. Ini pasti? 

Masa tidak pernah gagal menjadikan terlaksana apa yang harus terlaksana sebagai hukum alam. 

Bercakap tentang 'ketuaan' dan 'proses' penuaan serta tentang 'kematangan' aku teringat akan peristiwa yang aku alami ketika bertugas di sebuah syarikat penerbitan antarabangsa dahulu. 

Peristiwa berlaku sekitar tahun-tahun 1980-an di UK. Begini kisahnya: 

Aku menghadiri suatu majlis sosial rasmi. Sedang aku duduk-duduk di meja . . . adalah pulak omputih tu yang tiba-tiba 'celupar' mulut berkata kepada aku:




 
Kenangan di Oxford (1988)
(Tiada kaitan dgn kisah blog)




 

"You're not that old I'm sure . . . yet I can see greys popping up . . ."

Pada ketika itu muzik rentak bossanova sedang dirperdengarkan oleh sebuah 4 piece live band. Band-in-attendance malam itu.

Aku secara spontan menjawab," Blame it on d bossanova . . . every beat of d music pops a grey . . .

Sebenarnya aku tidak punya jawapan yang sesuai diberikan pada detik mendesak begitu. Jadi aku sebut sahaja tentang muzik rentak bossanova yang belum begitu difahami atau digemari ramai generasi waktu itu. 


[Anehnya, hingga sekarang aku tidak faham sebab mengapa aku memberikan jawapan yang sedemikian!]

Pada waktu itu . . . aku tidak peduli apa orang nak fikir atau kata. 

Biarkan si 'minah saleh' yang menyoal aku tadi turut tidak memahami apa maksudku. Biar dia keliru. Senang cerita.


Selepas itu entah apa lagi yang aku cakap 'mengarut'  . . . aku pun dah tak ingat!



 
 Penulis di OUP  
(Sekadar hiasan blog) 






Aku begitu sensitif mungkin tentang rambutku yang  dikatakan beruban itu! 

Ataupun . . . aku belum benar-benar cukup matang walaupun dah berusia 40-an ketika itu untuk menerima teguran (kritikan?) sedemikian. Entahlah.

Kira-kira 20 tahun kemudian . . . perkara yang serupa berlaku kepada aku di KL dalam satu majlis makan malam pula. 

Kali ini ketika aku menjadi MC annual dinner sebuah organisasi ternama di Malaysia.



 
Foto hiasan: Penulis & Ms Ooi



Sedang aku berehat (menantikan tugas pengacaraan seterusnya) . . . sambil meminum minuman ringan . . . datang beberapa orang yang baru aku kenali malam itu.

Baru kenal tu OK lah. Tapi rupanya mereka ini sama (lebih mungkin?) bermulut 'celupar' macam si omputih dalam peristiwa dulu tu!




 
Foto hiasan: Dinner bersama rakan sejawat



Salah seorang daripada mereka (perasan posh amat?) berkata kepada aku:

" U OK tau . . . penampilan diri OK, voice OK, humor OK, persembahan OK . . . cuma rambut aje kureng . . ."



 
Foto hiasan: REB & Penulis



Aku tak kisahlah. Memang rambut aku semakin menipis! Tidak tergerak hati langsung untuk marah.

Aku lantas bertanya kepada si lady perasan posh itu:

" Apanya yang tak kena tu?"

"Alah colour lah sikit rambut u . Nampak lebih segak."

Aku ketawa kecil sendirian. Aku langsung tak marah kali ini. Langsung tak tersinggung. Malah aku sempat menoleh kepada lady perasan posh tu sebelum meneruskan pengacaraan . . . 

Aku berkata dengan yakin kepadanya:

" Tak apa. Tak payah colour colour . . . Dah 60 tahun I tunggu ni tau (sambil menunjuk kepada rambut aku yang dah mulai beruban). One real long wait man! Baru dapat. So . . . why must I let all this waiting go to waste now!"

Lady perasan posh hampir ternganga. Kenalan baru yang lain tu ketawa mengiakan jawapan aku tadi.

Ada semacam kepuasan di dalam hatiku. Aku sudah mampu bertindak matang kali ini!

Sambil berjalan naik ke pentas semula untuk meneruskan tugas . . . aku terfikir . . . kalaulah aku bersikap begini dalam peristiwa 20 tahun dahulu tu . . . kan bagus! 

Terima kasihlah masa dan peristiwa yang telah mengajar aku erti kematangan (walaupun dalam perkara sekecil ini).

Sekurang-kurangnya aku akan sentiasa menyedari dan menghargai peredaran masa yang berlaku dan akan tetap terus berlaku . . . walau dalam keadaan apa sekali pun.

Memang masa berlalu begitu pantas . . .

"Yeah . . . How time flies," echoed my jiran si omputih tu!


*(Siaran khas untuk renungan rakan fb) 



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Friday, January 25, 2013

Baitullah oh Rumah Allah






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Muhammad (SAW) 



Semalam, Khamis 12 Rabilul Awal 1434H bersamaan 24 Januari 2013, berlalu sudah suatu hari istimewa . . .  Maulidur Rasul . . . hari keputeraan junjungan teragung kita Nabi Muhammad (SAW).


Mudah-mudahan kita telah meraikan ulang tahun keputeraan Baginda Rasulullah (SAW) dengan cara yang betul dan mendapat keredaan di sisi Allah (SWT).

Bersempena dengan laluan hari semalam . . . penulis teringat semula kepada peristiwa ketika berdiri di hadapan Kaabah di Makkah dua tahun yang lalu. 

Subhanallah . . . tiada perasaan yang dapat menandingi atau mengatasi ketakjuban rasa di hati penulis pada ketika itu . . . 




Suatu Hakikat





 [Petikan drpd 'Senarai Semak Ibadat Haji' terbitan Tabung Haji]




Selama ini
aku cuma mampu meninjau dari jauh
melihat di dada akhbar dan majalah
membelek halaman buku dan risalah.

Selama ini
aku hanya sempat menonton di kaca televisyen
menatap paparan ilustrasi
gambar mu nan indah
Kaabah oh Rumah Allah
syahdu, menyerlah
megah dan gah!










Hari ini
aku berada di sisi mu
Kaabah oh Rumah Allah
Alhamdulillah
dapat ku lihat
ramainya umat dunia
datang untuk beribadat
bermacam ragam berbagai gaya
berbagai usaha bermacam cara.









Selama ini
dari kejauhan
kulihat ramainya insan
hamba Tuhan
berpusu-pusu melimpah ruah
bertawaf keliling
Kaabah oh Rumah Allah . . . 













Bergerak senadi dan senada
berdoa bukan saja-saja
bukan suka-suka
berharap dapat menghapus dosa
menampung yang serba tak ada
membetulkan yang serba tak kena
menampal segenap yang berongga
menutup setiap ruang dosa!


Hari ini
Alhamdulillah
Kaabah oh Rumah Allah
kau kulihat
berterusan menerima kunjungan
jutaan bilangan hamba Tuhan
dari Kutub Utara membawa ke Kutub Selatan
di sepanjang daerah khatulistiwa
meliputi hemisfera Utara mahupun Selatan
juga Timur ataupun Barat
benua yang terjauh mahupun yang terdekat.

















Kini
kau dapat kulihat dari dekat
dengan pandangan yang tepat
penglihatan yang menyerlahkan
sesuatu yang hakikat
Kaabah oh Rumah Allah . . .






























Aku sangat terharu
segala tentangmu syahdu
segala tentangmu mulia belaka
segala tentangmu serba sempurna.
Kaabah oh Rumah Allah
Kau terbukti hebat . . .
penanda aras ke jalan berkat!


amb
(Puisi tertulis pada Jumaat 30 Disember 2011. Foto amatur . . . ambil sendiri)


Alhamdulillah . . . ya Allah . . . kerana mengizinkan hamba-hamba-MU hadir di situ dan mengalami kepuasan rasa yang tiada tolok bandingnya. Amin.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com