Saturday, February 20, 2021

Cikgu (Dr) Shaharom Husain dlm Kenangan

 Assalamualaikum 


Inilah buku:
"Sejarah Johor"



Sepanjang tempoh 22 tahun aku bekerjaya sebagai Editor di Oxford University Press/Penerbit Fajar Bakti (OUP/PFB) ada banyak peristiwa manis (yang pahit pun ada . . . tapi itu "biarlah rahsia") yang aku lalui. Antara banyak peristiwa manis itu, kenangan ketika mengendalikan penerbitan buku "Sejarah Johor" yang ditulis oleh Cikgu (Dr) Shaharom Husain lebih berkesan daripada yang lain. Cikgu Shaharom Husain seorang pengarang berkaliber. Beliau berpengetahuan luas tentang sejarah negeri Johor. Beliau sebenarnya boleh dianggap sebagai tokoh budaya dan sejarawan yang hebat di negara ini.





 
Dari kiri: Tuan Hj Shaharom Husain,
AF Yassin, YAM Raja Zarith Sofiah & AMB

[Penyampaian Buku "Sejarah Johor" Di Istana Pasir Pelangi, JB
pada 30.01.1995 ketika kami datang buat kali keduanya]


Usaha menerbitkan buku "Sejarah Johor" sudah berlaku sejak sebelum tahun 1994 lagi. Berkat kegigihan Pengarang, Pihak yang "menaja" dan Penerbit, buku tersebut telah dapat diterbitkan pada tahun 1995. Seperti yang biasa terjadi dalam proses penerbitan sesebuah buku, Pengarang, Penerbit dan Pihak yang " menaja" projek perlu bertemu dari masa ke masa untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar. Itulah ketikanya aku (sebagai Editor) berpeluang ke Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru untuk menguruskan segala keperluan penerbitannya. Aku serombongan tiba (buat kali pertamanya) di Istana Pasir Pelangi pada jam 12:00 tengah hari Khamis September 15 1994.


 



 
Surat rasmi AFY kepada YAM Raja Zarith Sofiah



Istana Pasir Pelangi di mana (pada masa itu) bersemayamnya Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan Yang Amat Mulia (YAM) Raja Zarith Sofiah Idris sekeluarga indah sekali. Dan, manusia yang menghuni Istana itu lebih indah lagi. Indah budi bahasa kata orang! Rombongan kami dari OUP/PFB yang terdiri daripada Pengarah Penerbitan, Ahmad Fadzil Yassin (AFY @ AF Yassin), Pengarah Rekabentuk, Charles Yeoh dan aku sendiri serta Pengarang, Cikgu Shaharom Husain (yang kami jemput bersama) telah diberikan sambutan yang penuh mesra. Kami amat senang berurusan dengan keluarga Diraja ini khasnya berurusan secara profesional dengan YAM Raja Zarith Sofiah.






 
YAM Raja Zarith Sofiah


 

DYAM Tunku Mahkota Johor berada bersama kami selama lebih kurang 10 - 15 minit sahaja kerana baginda ada urusan lain yang perlu diberi perhatian. Apapun YAM Raja Zarith Sofiah benar-benar membuat kami berasa seperti berada di rumah sendiri sepanjang kami berurusan itu. Malah kami berempat juga dihidangkan jamuan makan tengah hari yang istimewa bersama baginda di Istana Pasir Pelangi pada hari tersebut.

Aku sempatlah bersembang dari dekat dengan baginda. Sementelah pula aku berasal dari Perak . . . dan baginda pun orang Perak, maka panjanglah juga perbualan kami . . . dengan menggunakan loghat Perak.





 
Dari kiri: Tuan Hj Shaharom Husain,
YAM Raja Zarith Sofiah, AF Yassin & AMB



 

Pada sebelah petang hari itu selesailah urusan kami di Istana Pasir Pelangi. Dan, kami pun bermohon diri untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi menyiapkan projek yang hampir sampai ke penghujungnya. Aku bersyukur. Aku telah mengalami satu hari yang penuh bermakna di dalam waktu bekerjaya sebagai seorang Editor di Oxford University Press/Penerbit FajarBakti. 






 
Minit mesyuarat di Istana Pasir Pelangi, JB
oleh AMB



Lambang Kebesaran TMJ pada kad Ucapan Hari Raya Aidilfitri


 

Sepanjang perjalanan pulang ke KL . . . aku melayan fikiranku sendiri-sendiri. Patutlah keluarga Diraja ini amat disayangi rakyat khususnya rakyat negeri Johor, fikirku. Mereka berhemah tinggi dan pandai menjaga hati orang.




 
Kad Ucapan Hari Raya Aidilfitri
kiriman YAM Raja Zarith Sofiah kepada AMB




Kesimpulannya, peristiwa yang aku lalui itu tidak akan mudah aku lupakan. Melalui pengalaman itu aku secara 
first hand dapat mengetahui sendiri bahawa ahli-ahli Keluarga Diraja Johor sungguh tinggi sopan santunnya.

 

Dirgahayu!


 

 
Surat Rasmi AMB kepada SUK Johor



Catatan:


1. DYAM Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar kini DYMM Sultan Negeri Johor Darul Takzim manakala YAM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah kini DYMM Permaisuri Negeri Johor Darul Takzim. Baginda dan Permaisuri telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Sultanah Johor pada 23 Januari 2010.

2. Pengarang buku "Sejarah Johor" Cikgu Shaharom Husain telah kembali ke Rahmatullah pada Oktober 2 2008 ketika berusia 88 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah. Amin.

3. Penerbit Fajar Bakti/Oxford University Press (OUP/PFB) kini dikenali sebagai Oxford - Fajar.













dsuarang.blogspot.com


Thursday, December 3, 2020

W-A-K-T-U Q-ku

 Waktu Q-ku


Waktu Q-ku bersama keluarga
duduk semeja menjamu selera
sambil mendengar cerita harian
tersebar ketika waktu makan
ada juga ehwal semasa
kami semua berkongsi cerita 
kadangkala ada kesempatan 
mendengar gosip juga umpatan 
cerita scoop penuh kehebatan
terlepas pandang dibuai kehangatan
ampunilah kami wahai TUHAN!

Waktu Q-ku bersama famili
duduk santai menonton TV
sambil menikmati rancangan malam
keluar komen yang 'makan dalam'
rancangan hiburan paling popular ditontoni
tak berapa best agaknya motivasi pagi
tapi tak apa asal kami dapat
berkumpul semua
satu keluarga sepakat
mengawasi dan menghindari
kepincangan hidup moden zaman ini!

Waktu Q-ku beramai-ramai
memang sesuatu 
yang sangat bernilai
main game segala macam 
terup, domino, congkak,
catur dan dam
bertekak sampai penat
tak apa,
silaturahim keluarga bertambah erat;
satu lagi waktu yang berkualiti
apabila bercuti bersama famili
melancong sambil bergembira
ke berbagai destinasi 
dalam dan luar negara  ... 

Waktu Q-ku
bersama anak isteri
detik yang paling aku hargai
apabila kami dapat berjemaah
beramal ibadat ke hadrat Allah
bagiku ini waktu teristimewa 
selepas solat kami berdoa
mohon perjalanan hidup terpelihara
agar kami tidak dalam kerugian
melalui waktu yang disia-siakan:
berkatilah keluarga kami 
wahai TUHAN!


Bamuda
d'suarang 
(disesuaikan drpd tulisan 20.7.2005)


Friday, November 27, 2020

Mata Melihat Rasa Meluat

 Sekonyong-konyong


Sekonyong-konyong
si gagap pimpin si bisu
si rabun pimpin si buta
si capik pimpin si kudung
sekonyong-konyong
ternyata 
si telus dipermain si penipu!

Sekonyong-konyong  
berempati
bersimpati
konon segalanya buat komuniti  
bina masyarakat 
bela sesiapa saja 
tidak pandang darjat
kasta atau rupa!

Sekonyong-konyong
si kaduk dah naik junjung!
tolong punya tolong
selindung punya selindung
baik punya baik
rupanya ada pekung
di sebalik!

Sekonyong-konyong
ramai berpesta di air keruh 
ramai ghairah menangguk
untung-untung dapat laba
si petah, si celik, si tegap
si patah, si sepet, si gelap
semua bijak menyelinap!

Macam dalam ketidaksedaran
terpinga-pinga
macam dalam kegelapan 
teraba-raba 
rakyat 
masih keliru dengan arus ketokohan
terperangkap dengan siasah pembohongan 
konon juara
kesaksamaan, keharmonian, keadilan ... ... ...

Hari ini 
ternyata juga ... ... ...
SEKONYONG - KONYONG 
sekadar suatu strategi
permainan
percaturan
empati, simpati  
bukan realiti!

Bamuda
d' SUARANG
Terilham: Okt/Nov 2008
Ditulis semula: Nov 2020

 



Thursday, November 26, 2020

If only ... Life Is A Set of Buttons ...

 Assalamualaikum 



A lot of uneasiness and displeasure accumulating to quarrels and feuds and resulting in hatred and enmity could have been avoided and declared extinct if only:

people would learn to talk to one another instead of talking about one another.


Head to head comparison with a recording machine.
Life would have been perfect if only:
  • greed, jealousy, anger all had a STOP button . . . 
  • mistakes had a REWIND button . . .
  • hard times had a FORWARD button .
  • and good times had a PAUSE button . . .



Dalam bahasa mudah:

Elakkan mengumpat atau berburuk sangka. Jalani hidup ikhlas, ceria dan gembira. Kehidupan manusia penuh ujian. Tiada kesempurnaan dalam kehidupan. Bijaksanalah meniti kehidupan.


Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Wednesday, November 25, 2020

Pusaka dan Warisan

Hidup bersama bangsa berbagai,
Adat resam perlulah diturut;
Teruntuk kita jangan pertikai,
Hak orang lain kita tak rebut.

Hebat sekali fakta sejarah,
Tidak siapa akan sangkalkan;
Hasad dengki tak bawa faedah,
Tamak haloba jangan amalkan.


Pusaka adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh leluhur untuk keturunan mereka. Warisan pula adalah sesuatu yang diwarisi oleh keturunan daripada leluhur mereka dalam penerusan kehidupan. Gabungan dua perkataan ini iaitu 'pusaka' dan 'warisan' menjadi "Pusaka Warisan". Ini secara ringkas mengingatkan supaya kita menjaga dengan baik apa yang telah diamanahkan kepada kita dalam bentuk sesuatu peninggalan oleh nenek moyang kita.

Warisan ini boleh jadi berupa wang ringgit, harta benda, hartanah ... malah tanah air juga. Kita diingatkan tidak lalai menjalankan tanggung-jawab menguruskan hak milik itu dengan sesempurna mungkin. Kelalaian boleh mengakibatkan kita kehilangan hak milik yang sedia ada. Lebih dahsyat lagi jika kita kehilangan maruah diri akibat kealpaan sendiri. Maruah diri penting dipelihara dengan penuh kemuliaan untuk selama-lamanya.

Kealpaan juga boleh menyebabkan kita terjajah semula dalam kehidupan moden dari segi penguasaan mental dan ekonomi. Janganlah biarkan ini berlaku. Janganlah benarkan orang lain menentukan nasib kita di negara kita sendiri. Kita seharusnya telah belajar daripada pengalaman pahit yang sudah-sudah. Kita harus sedar betapa mustahaknya mengetahui di mana kelemahan dan apa pula kekuatan diri kita. Kita perlu bertindak bijak untuk menjadi bangsa yang berjaya dalam menempuh arus kehidupan yang serba canggih sekarang.

Dalam kehidupan ini kita tidak akan terlepas daripada ikatan peraturan dan perundangan. Jelas dilaung-laungkan bahawa kita sebagai warga negara yang sah harus taat dan setia kepada para pemimpin negara dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang terdapat di negara ini. Tiada tempat di sini bagi mereka yang menganjurkan atau menyokong perpecahan perpaduan di kalangan rakyat. Sesungguhnya tiada keampunan bagi orang yang berniat jahat dan berperasaan dengki khianat ini!

Peringatan: 


Jagalah apa yang sudah kita miliki dengan sebaik-baik jagaan. Pastikan hak kita tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak pun. Jangan dengki atau iri hati terhadap sesuatu yang telah menjadi hak orang lain. Belajarlah mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah menganugerahkan kepada kita segala kesenangan dan keselesaan hidup. Lebih-lebih lagi, bersyukurlah kepada Tuhan atas segala limpah kurnia-NYA.

Perhubungan sesama manusia tidak akan berjalan lancar sekiranya tidak wujud semangat toleransi yang tinggi dan persefahaman yang erat antara satu dengan lain. Apatah lagi jika ahli masyarakat yang terlibat itu berlainan pegangan hidup dan kepercayaannya. Kita perlu bijak bertindak dan sanggup bertolak ansur dalam banyak perkara untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul antara kaum atau etnik.

Elakkan syak wasangka terhadap pihak lain. Terima dengan berlapang dada dan hati yang terbuka sesuatu keputusan yang telah sama-sama dipersetujui. Keputusan yang diambil pula mestilah saksama dan tidak merugikan mana-mana pihak. Jauhkan kata-kata yang boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. 

Amalkan ciri-ciri hidup mulia yang sebati dengan sifat dan unsur manusiawi. Akhir kata, hormatilah hak dan perasaan orang lain sebagaimana kita mahu orang  lain menghormati hak dan perasaan kita!




Bamuda
d'SUARANG 
Nov 25 2020