Wednesday, June 30, 2010

Kenangan di Serting Ulu




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera



Sehari di Dusun Pak Ngah Ujang


Tiba-tiba sahaja aku terkenangkan Pak Ngah Ujang yang tinggal di Serting Ulu, Negeri 9. Pak Ngah atau Hj Ujang bin Ahmad adalah adik kepada bapa mertuaku Hj Yasin bin Ahmad. Ertinya, Pak Ngah Ujang itu bapa saudara isteriku Alimah Yasin. Pak Ngah Ujang kini tinggal bersama isterinya Mak Ngah Hjh Siti Fatimah (Ambam) di Batu 42, Kg Serting Ulu, Negeri Sembilan. Anak-anak Pak Ngah Ujang seramai empat orang (dua lelaki dua perempuan) semuanya sudah dewasa dan berumah tangga. Zaharah, Abdullah, Mohd Azzali dan Norazila masing-masingnya tinggal di KL, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.



Alimah(kanan) bersama Mak Ngah Ambam
Foto 2002

Aku mula mengenali Pak Ngah Ujang setelah berkahwin dengan Alimah pada tahun 1974.
Aku mendapat tahu bahawa keluarga isteriku pun baru sangat bertemu semula dengan Pak Ngah Ujang dan keluarganya. Pertemuan itu berlaku sekitar awal tahun-tahun 1970-an. Ini bermakna betul-betul sebelum aku masuk ke dalam lingkungan keluarga isteriku ini. Mesti ada hikmahnya. Bapa mertuaku Yasin bin Ahmad bertemu semula dengan adiknya Ujang bin Ahmad setelah kira-kira 40 tahun terpisah. Maka berjejak kasihlah mereka ala sebuah rancangan TV tempatan!



Tahun 1980 - Hitam Putih? ... Acah je ...


Kunjungan Hari Raya Aidilfitri,
Hari Raya kedua, Khamis 14 Ogos 1980
ke rumah Pak Ngah Ujang, Kg Serting Ulu, N9


(Pengenalan mengikut pertalian dengan penulis)

Belakang dari kiri: Rajemah Ahmad (biras - isteri Sulaiman Yasin),Yasin Ahmad (bapa mertua), Mak Ngah Ambam , Maimunah Mahat (ibu mertua - dukung Halim), Pak Ngah Ujang, Alimah Yasin (isteri), Zolkeplay Madiasin (adik ipar), Aziz Yassin (adik ipar)

Depan dari kiri: Sulaiman Yasin ({Johari} - abang ipar), Foziah Yasin (adik ipar), Norazila Ujang (adik saudara), Kamariah Yasin ({Ani} - adik ipar - pangku Mazlyn), Fadelah Yasin (adik ipar), Sapiah Yassin (adik ipar), Penulis, Halmy


Pada mulanya aku amat berhati-hati apabila hendak berinteraksi dengan Pak Ngah Ujang.Ini kerana aku perhatikan Pak Ngah Ujang seorang yang agak "keras" dalam percakapan dan pendiriannya. Beliau berbahasa "lantang" tanpa diselindungi sebarang bentuk diplomasi ("Aku tak sekolah tinggi! Tak pandai bercakap halus," . . . dia sering berkata) apabila bertutur kata dengan orang sekelilingnya. Kadang-kadang ucapan daripada mulutnya seperti bernada "marah" saja. Ada masanya suara Pak Ngah kedengaran agak "meninggi" apabila dia memberi sesuatu arahan kepada sesiapa saja!

Namun, setelah lama mengenalinya . . . (dan mengenalinya dengan benar-benar dekat ). . . aku sedari segala ukuran awal (negatif sesaja le!) yang aku "letakkan" terhadap diri Pak Ngah Ujang amat meleset dari segi kebenarannya. Pak Ngah Ujang bukan seorang yang "keras" seperti yang kelihatan daripada tindak tanduknya setiap hari. Pak Ngah Ujang tidak begitu! Dia sebenarnya seorang yang pemurah, berhati mulia dan jujur. Aku terfikir 'orang tua' ni ada cara dan hala tuju tersendiri. Sekurang-kurangnya beliau bukan seorang "hipokrit" yang mengamalkan "hipokrasi".


(Kesemua foto dalam siri kunjungan ke dusun diambil pada tahun 2001)



Kiri: Penulis bersama Pak Ngah Ujang melihat sekitar tanah dusun milik Peladang Jaya ini. Kanan: Pak Ngah Ujang berbual dengan anak saudaranya Alimah.



Kiri: Lyana, Hazry, Halim & Anum menikmati kesejukan air anak sungai yang mengalir di tanah dusun Pak Ngah Ujang. Kanan: Anum berdiri dekat salah satu pohon rambutan yang sedang banyak berbuah.

Pak Ngah Ujang cekal dalam segala usaha yang dilakukannya untuk hidup. Aku perhatikan Pak Ngah Ujang amat rajin bercucuk tanam. Beliau rajin menanam berbagai jenis pokok buah-buahan di dusun mahupun di sekeliling rumahnya. Sebut saja tanaman apa . . . kelapa, durian, rambutan, langsat, manggis, pulasan, limau abung, limau nipis, jagung, sayur-sayuran dll. Semua ada! Beliau juga memelihara banyak haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, ayam dan itik. Beliau sanggup berusaha bermati-matian untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarganya.





Kiri & Kanan: Aktiviti mengumpul buah durian sudah bermula. Halim cukup aktif dalam aktiviti begini. Bagus le tu . . . yang lain tumpang makan . . . tambah kemeriahan






Kiri: Acara melintas jambatan . . . ke? Hazry & Anum beraksi sebagai pengawal lalulintas. Kanan: Penulis bukan tayang perut . . . dah kepenatan & kepanasan!






Kiri: Wah, Lyana mula "menyaring" buah durian yang layak dimakan . . . mentang-mentang kat dusun . . . boleh le pilih-pilih. Kalau kat luar sana . . . sebat aje weh!
Kanan: Anum lak "posing" kat durian tunggal tu . . . ye lah, maklum tak ada dusun durian. Agaknya gitu le nama tempat Durian Tunggal di Melaka tu terlekat. Entah . . . Suka hati le!





Kiri: Alimah seronok melalui jambatan di dusun Pak Ngah Ujang. Kanan: Cukuplah dapat jadi anak saudara atau cucu pemilik dusun durian. Tumpang seronok tayang buah durian weh! Penulis, Halim, Lyana. Di depan tu . . . siapa lagi kalau bukan dak Anum


Senyuman Seribu Makna

Anum dan Lyana
mendahului pemungut durian di belakang tu!



Segala usahanya itu terbukti "berbaloi" (kata orang sekarang). Selain mendapat hasil dan pendapatan yang lumayan daripada segala usahanya, Pak Ngah Ujang pernah menerima Anugerah Peladang Jaya, Negeri Sembilan pada tahun-tahun 1980-an. Walau bagaimana pun, beliau tetap merendah diri dan meneruskan hidupnya dengan cara yang sederhana.


Depan Rumah Pak Ngah Ujang
Dari kiri: Penulis, Mak Ngah Ambam, Pak Ngah Ujang & Alimah
Foto 2002


Aku sejak lama kagum dengan kekuatan fizikal Pak Ngah Ujang. Beliau begitu bertenaga melaksanakan segala kerja "membanting tulang" dan "memerah keringat". Pak Ngah Ujang tidak jemu-jemu mengusahakan tanah luas miliknya.


Sekeluarga di Rumah Pak Ngah Ujang

Berdiri dari kiri: Halmy, Hazry, Penulis, Mazlyn, Anum & Halim
Duduk dari kiri: Alimah, Mak Ngah Ambam & Pak Ngah Ujang
Foto 2002


Tiga Generasi
Depan dari kiri: Halmy & Halim
Tengah: Penulis, Mak Ngah Ambam, Pak Ngah Ujang
Belakang: Lyana, Mazlyn, Alimah, Anum


Pak Ngah Ujang memang mempunyai berekar-ekar tanah hasil usahanya sejak dari awal dulu. Aku difahamkan Pak Ngah Ujang membeli dan memajukan sendiri tanah yang didudukinya sekarang. Ketika itu masih hutan belantara . . .



GELAP & TERANG

Lain dulu, lain sekarang,
Dulu gelap, sekarang dah terang;

Basikal tua, seronok ditunggang
Keliling dusun Pak Ngah Ujang!

Berbasikal mengelilingi dusun bersama Fadelah Yasin (adik ipar)
Khamis 14 Ogos 1980


"Ada gajah dan harimau di kawasan ini pada waktu itu," cerita Pak Ngah Ujang.

Aku juga pernah bertanya sama ada terdapat pengganas komunis pada zaman itu di situ. Sama ada beliau takut dengan mereka itu . . .

Pak Ngah Ujang dengan selamba menjawab, "Ada. Tapi apa nak takutkan. Mereka itu manusia saja. Kat Christmas Islands (Australia) dulu . . . macam-macam ada. Lebih dahsyat lagi . . . "

Apabila Pak Ngah Ujang terhenti bicaranya, aku lantas bertanya . . . ingin tahu. Pak Ngah Ujang pernah ke sana ke? Buat apa?"

"Ha, telingo ni dah pokak badak ni sobab tu lah . . . Pak Ngah dulu (lari rumah?) belayar ke sanun nak cari kojo. Jang tak sekulah, takdo kepandai lain . . . yang ado tenago mudo yo . . . "

"Jadi Pak Ngah buat kerja apa di sana?" tanyaku lagi.


"Alahai kojo tu lah . . . tojun ke laut dalam . . .nyolam mutiara!"

Ya Allah aku terfikir," Kuat betul 'orang tua' ni! Apa tidaknya, menyelam mutiara (pada waktu itu tanpa sebarang peralatan menyelam) tanpa tabung gas . . . issyhhh "

Aku juga diberitahu Pak Ngah Ujang bahawa ada kalanya beliau terserempak dengan jerung dan haiwan laut berbahaya ketika menyelam itu . . . tapi buat selamba aje. Elakkanlah daripada beradu kuat dengan pemangsa atau haiwan laut berbahaya itu. Kalau terpaksa . . . gagahkan lah juga!

"Patut le Pak Ngah Ujang ni tak takut dengan pengganas komunis!" fikirku!

Walau apapun sudahnya . . . aku tetap mengangkat "tabik" kepada Pak Ngah Ujang yang begitu gigih menjalani hidup . . . dan membawa keluar diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan asal . . . menjadi seorang yang berjaya dalam hidupnya walaupun di sebuah kampung yang jauh dari Kuala Lumpur!


Kiri: Anum masih di sungai ... al-maklum sungai di KL ... tak membolehkan dia bermain-main begitu! Kanan: Lyana pula buat apa kutip durian yang hanyut tu? Kan ada banyak lagi kat pokok?


Ha, gitu le Lyana . . .
baru nampak betul-betul ceria



Kiri: Sempat buka gelanggang silat . . . Silat pulut dah ada kat rumah orang kawin . . . yang ni mestilah silat durian, he he. Kanan: Nampak Penulis macam bercakap dengan "pendekar tongkat buluh" . . . Hati-hati sikit . . . ini kawasan pendekar tu!


Aku doakan Pak Ngah Ujang sekeluarga terus berbahagia. Dirgahayu Pak Ngah Ujang. Insya-Allah kita berjumpa lagi .

















dsuarang.blogspot.com

No comments: