Sunday, August 1, 2010

Che Rafael Kenalan Baru




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Cilik dan Cerdik



Pulang dari rumah Jamil semalam (Sabtu 31 Julai 2010) aku sekeluarga sempat singgah di KLCC. Anak dan menantuku (Halmy & Nurliza) berhajat membawa isteriku bersiar-siar di Suria KL sambil membeli belah. Sudah lama tidak berjalan bersama kami kata mereka. Tambahan pula sekarang sudah bermula Mega Sale kata mereka lagi. Aku tak kisah. Ada waktu, boleh bergerak . . . jom jalan.


Sesudah bersiar-siar di KLCC perut masing-masing terasa lapar. Kami sepakat mahu menjamu selera di sana. Namun ketika itu terlalu ramai manusia yang mengunjungi tempat itu. Kedai, gerai atau outlet makan di Food Court semuanya penuh sesak. Kami tak selesa! Isteriku mencadangkan kami makan saja di Ampang Park (AP).


Di AP suasananya berbeza sekali. Tenang dan tenteram. Kami sekeluarga seramai tujuh orang sekarang (aku bertemu tiga orang lagi ahli keluarga di KLCC tadi) menjamu selera di Cozy House (CH). Sambil menjamu selera itu aku terkenangkan masa lampau. Masa muda-muda dulu le. Awal tahun-tahun 1970-an.



Terkenang
Aku dan isteriku Alimah selalu ke sini dulu
makan-makan & membeli-belah

Ketika itu aku dan isteriku Alimah baru berkahwin. Kami sering ke AP untuk membeli belah atau pun makan-makan. Maklum pada waktu itu AP satu-satunya tempat "
shopping" termoden. Serba eksklusif kata orang. Kalau tak silap aku eskalator (tangga bergerak) terawal di KL ini terdapat di kompleks AP ini le. Hebat tu. (Ibu mertuaku sampai sekarang terkenang dia takut nak naik tangga tu dulu . . . {alah sampai sekarang pun!} Maaf Mak saya pecahkan rahsia ini). Sesungguhnya ingatan ibu mertuaku Hjh Maimunah masih mantap walaupun usianya kini 84 tahun. Dia sering bercerita tentang "kehebatan" AP kepada cucu-cucunya! Itu suatu "testimoni" buat AP. Sesungguhnya aku berterusan mengunjungi AP sehingga sudah ada enam orang anak pun. Malah sehingga sekarang.



Sedapnya ...
Anak-anak & menantuku menjamu selera

Kenanganku terhenti apabila aku terlihat ada "
couple" muda masuk ke CH bersama seorang anak kecil. Mereka duduk bersebelahan meja kami sekeluarga. Membawa anak kecil ke tempat begitu tentulah ada sedikit "lecehnya". Maklum budak-budak. Mereka cergas dan mesti hendak melepaskan tenaga lebihan dengan bergerak lincah.


Aku terdengar si ibu anak kecil itu seolah-olah memberi "peringatan" awal kepada anaknya sebaik saja mereka duduk di meja makan . . .

Katanya lebih kurang begini," No, no, no. Ini bukan kat rumah tau!"


Aku rasa si ibu berkata demikian apabila menyedari anaknya itu hendak mula "beraktiviti" sendiri-sendiri. Aku terfikir baguslah begitu. Membentuk nilai baik dan teratur di khalayak ramai dalam diri anak sejak awal. Usah kira anak kita itu sedikit "lasak" atau "hyper". Syabas.


Selepas itu kami pun terus menikmati hidangan yang disajikan. Masing-masing dengan cara dan citarasa tersendiri. Masing-masing melayan perasaan sendiri-sendiri.


Tiba-tiba aku terdengar isteriku bersuara, " Ha, mari kat opah."


Aku terkejut dan mengangkat kepalaku sedikit hendak memastikan apa yang berlaku. Rupa-rupanya anak kecil tadi sudah berdiri di sisi isteriku. Dia mencuit-cuit siku isteriku. Dan, isteriku terus sahaja mengangkatnya duduk di riba. Anak kecil tu diam saja sebentar. Kemudian ibu bapanya mengambil anak kecil itu semula. Tetapi cuma untuk sedikit waktu . . .


Si cilik Che Rafael (namanya aku ketahui kemudian setelah bercakap-cakap dengan ibu bapanya) jelas tidak suka dipegang lama-lama. Dia ketara suka bergerak aktif. Dia menuju pula kepadaku sambil semacam menegur "atuk". Ibu bapa Che Rafael yang masih muda iaitu Encik Che Rostami dan Puan Zinnia lantas bersuara,"Salam atuk."



Pandainya ...
Che Rafael didukung ibunya Puan Zinnia

Che Rafael pun bersalaman denganku. Siap cium tangan sekali. Memang ini perkara atau adat biasa bangsa kita. Tetapi anak ini baru berusia lebih kurang satu tahun tiga bulan. Dan, dia sudah faham "
instruction" begitu. Eloklah . . . dia diasuh mengerti adat dan kebiasaan kita. Sambil menyelam minum air.

Seperkara yang menarik hatiku . . . Che Rafael berkali-kali datang kepadaku untuk memberiku sekeping not lima ringgit. Sebenarnya not itu aku yang beri kepadanya awal tadi selepas dia bersalaman dengan aku. Memang aku ikhlas beri pada dia. Simpan saja le. Aku katakan begitu kepada Che Rafael. Tak tahu le dia faham ke atau sebaliknya . . . yang penting kepadaku Che Rafael seolah-olah hendak melaksanakan kata-kata hikmat orang kita yang popular yakni, "Orang Berbudi, Kita Berbahasa". Suka hatilah Che Rafael asalkan anda bahagia.



Berbudi Bahasa ...
Che Rafael cuba "membalas budi"

Ketika ahli keluargaku yang lain melayan telatah Che Rafael, aku sempat "meng-
interview" ayah dan ibunya. Che Rostami ayah Che Rafael berasal dari Perlis manakala ibunya Puan Zinnia pula memang orang sini (local KL). Mereka tinggal di Taman Sri Gombak. Che Rafael merupakan anak mereka yang pertama. Menurut Che Rostami anaknya itu cucu pertama dalam keluarga sebelah isterinya. Manja "granny grandpa" (Mak Tok dan Pak Tok) le tu. (Aku dapat merasakan dan memahaminya. Aku pun baru punya seorang cucu . . . at this age man!)



Siapa Rafael?
Che Rafael segera mengangkat tangannya
bila ditanyakan demikian oleh ibunya ...
petanda budak cerdik le tu ...



Ibu Rafael, Puan Zinnia pula menyatakan bahawa dia sering dibawa ibunya ke tempat makan yang sama waktu kecil-kecil dulu. Patutlah sekarang bawa Che Rafael pulak. Nostalgia in motion. Bagus tu Puan Zinnia. Family bonding (keeratan) yang patut terus diamalkan.


Aku perhatikan mereka ini pasangan yang baik dan saling memahami. Aku harap benarlah begitu. Aku doakan begitu. Dan teruskanlah mendidik anak dengan cara yang teratur dan betul. Insya-Allah anak itu akan menjadi anak yang soleh (kata orang tua-tua jadi "orang" le).



Siapa Budak Pandai?
Che Rafael cepat mengangkat tangannya lagi.
Confident si CR ni ... Bagus.

Dah habis makan dan berkenalan ringkas dengan kenalan baru yang cilik dan cerdik ini kami pun bersalaman dan bergerak menuju ke haluan masing-masing. Mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi pada suatu ketika yang lain.











dsuarang.blogspot.com

2 comments:

Zinnia Zahid said...

Thanks Uncle for the lovely blog entry on my dear Che Rafael Che Rostami...everybody at home had a wonderful time reading it, especially CR's 'Paktok & Maktok' who is very proud of their 'cucu kesayangan'.
Hopefully, our path will cross again, Insya-Allah!

Bamuda said...

Salam Zinnia & all at home,

My pleasure. I'm very happy indeed to hear you & the rest of d family approved that blog entry of mine. Nothing much. . . just something sincere from the heart.

God willing we will.May each day be a good day and may Allah bless all of you.