Thursday, November 19, 2009

Anjing Dengan Bangau




Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Orang Berbudi Kita Berbahasa




Orang suka bercerita dan mendengar cerita. Ada macam-macam cerita. Suka atau duka, sedih atau gembira, serius atau lawak jenaka ... dan paling penting cerita itu betul atau dusta!

Saya hendak memetik sebuah cerita lama. Orang dulu-dulu suka menyampaikan nasihat atau tunjuk ajar melalui cerita. Ada saja cerita yang mereka karang untuk 'menghalalkan' cara mereka menyampaikan pengajaran kepada seseorang. Mari kita ikuti cerita ini sebelum kita 'bongkar' muslihatnya.



Anjing dan bangau tinggal di sebuah kawasan kejiranan yang aman dan serba mewah. Mereka sudah lama kenal antara satu sama lain. Perkenalan ini nampak semacam mesra dari masa ke masa.


Dalam keadaan yang nampak semacam mesra itu, anjing terfikir," Baik aku ajak bangau datang ke rumahku. Aku katalah tujuan aku nak mengeratkan tali persahabatan. Aku janji beri dia makan-makan." Anjing pun menjemput bangau datang ke rumahnya.

Bangau amat suka hati. Bangau terasa mulia kerana dijemput sedemikian."Wah, baiknya anjing ini! Dapatlah aku mengenali anjing dengan lebih dekat lagi," kata bangau.

Tiba hari yang dijanjikan bangau pun pergi ke rumah anjing. Anjing menjemput bangau masuk ke rumahnya. Mereka bercakap-cakap dan bercerita panjang. Apabila sampai waktu makan anjing pun mempelawa bangau makan bersamanya. Bangau sangat suka hati. Bangau pun pergi ke ruang makan. Bau makanan sungguh menaikkan selera. Meleleh air liur si bangau!

Tetapi, alangkah terkejutnya bangau bila memerhatikan hidangan makanan yang tersedia ... Memang, semuanya kelihatan enak. Bangau pun yakin ia pasti enak!

Malangnya, semua makanan itu terhidang dalam bekas-bekas yang amat leper!


Bangau berkata di dalam hatinya," Macam mana aku nak makan ni. Semua bekas makanan ini amat leper ... paruh aku pula panjang dan tajam. Mana paruh aku nak dapat gigit bahan makanan yang berada dalam bekas semacam ini!"

Anjing pula beria-ia mengajak bangau makan.

"Makanlah, makanlah bangau. Jangan segan-segan".


Untuk menyahut pelawaan itu dan untuk menjaga hati anjing, bangau pun terpatuk-patuk pada bekas yang leper itu. Dapatlah rasa sikit-sikit makanan yang tersedia. Perut bangau tetap lapar.

Anjing terus makan sehingga habis semua makanan itu dijilatnya. Bekas yang leper itu memang sesuai dengan cara anjing makan. Sesudah itu bangau pun meminta diri untuk pulang.

Dalam perjalanan pulang bangau berkata sendirian,"Aku ni dah terkena agaknya. Sampai hati anjing berbuat demikian kepada aku!"

Selang beberapa hari selepas peristiwa itu bangau pula mempelawa anjing ke rumahnya. Bangau terfikir, " Elok rasanya aku balas budi baik anjing yang menjemput aku ke rumahnya tempoh hari."

Anjing amat gembira dengan jemputan bangau itu. "Baik si bangau ini. Tahu membalas budi," fikir anjing.

Sampai hari yang dijanjikan anjing pun pergi ke rumah bangau. Sebaik tiba di rumah bangau, anjing terhidu bau makanan yang amat menyelerakan. Tak sabar rasanya anjing hendak menunggu bangau mempelawanya makan kelak.

Setelah bangau dan anjing bercerita macam-macam cerita, tibalah waktu makan. Maka bangau pun menjemput anjing ke ruang makan di rumahnya itu.

"Marilah kita makan apa yang ada di sini anjing," kata bangau.

"Baiklah," jawab anjing.


Alangkah terperanjatnya anjing melihat makanan yang tersedia. Hebat sungguh. Ada banyak macam jenisnya pula.

"Wah, betul-betul aku ini dihormati oleh bangau," kata anjing di dalam hatinya.

"Anjing, makanlah jangan malu dan segan. Makanan ini memang disediakan untukmu," kata bangau.

"Terima kasih," jawab anjing.

Tetapi, di dalam benaknya anjing merungut, "Macam mana aku nak makan. Semua makanan ini terhidang di dalam balang dan botol yang sempit dan tirus mulutnya. Mulut aku besar ... mana dapat masuk nak gigit makanan ni. Hai, nasib aku!

Bangau makan dengan selesa. Bangau memasukkan paruhnya yang tajam dan panjang ke dalam botol yang tirus dan panjang itu.Bangau terus memakan makanan yang terhidang itu hingga habis.

Anjing pula cuma dapat menjilat sisa makanan yang terkeluar sedikit di sekeliling mulut botol yang mengandungi makanan itu.


Dalam perjalanan pulang ke rumahnya anjing terfikir, "Hai tak kan bangau nak kenakan aku. Katanya ingin bersahabat ... Entahlah".

Begitulah ceritanya. Ringkas dan mudah sahaja. Namun kalau dilihat daripada pengajaran atau mesej yang hendak disampaikan kita dapat membuat berbagai-bagai andaian dan kesimpulan daripada isi cerita ini.

Kepada saya di antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada cerita ini ialah kita harus benar-benar memahami budaya hidup atau resmi serta adat resam seseorang sebelum kita cuba merapatinya.

Jika kita terus sahaja mahu memenangi hatinya atau tergesa-gesa hendak menjadikan dia baik dengan kita ... besar kemungkinan tujuan baik kita itu boleh disalahertikan.

Niat kita yang baik mungkin boleh diterjemahkan menjadi sesuatu yang negatif dan merugikan!


Apapun, terpulanglah kepada pemahaman dan pandangan para pembaca yang budiman untuk memberikan tafsiran masing-masing!


 

No comments: