Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Yang Kurik Itu Kundi ...
Izinkan saya mengusik sedikit tentang soal budi pekerti khususnya di kalangan warga Kuala Lumpur (dan kawasan sekitar yang mendapat tempiasnya.) Warga KL memang berbudi bahasa. (Kita ‘kan orang Malaysia yang terkenal bersopan santun dan berhemah tinggi. Ini ternyata sekali apabila kita melayani ‘kerenah’ orang luar atau orang asing yang datang ke negara kita! Tak kiralah pelancong, pelawat, pelabur, pengunjung atau banyak ‘pe…’ ‘pe…’ lain lagi!)
Cuma kadangkala (apabila berinteraksi sesama kita sendiri) ada di antara mereka yang bergelar warga KL terlepas pandang akan hal-hal bersangkutan budi bahasa. Mungkin mereka menganggap itu ‘remeh-temeh’! Maklum mereka warga maju di bandaraya yang serba moden pula! Mungkin nilai-nilai budi pekerti sudah berbeza pada pandangan mereka itu! Atau, mungkin juga mereka sudah menjadi pak turut (dan mak turut?) yang terikut-ikut dengan ‘trend’ hidup moden di bandar-bandar besar dan maju di seluruh dunia!
Apa yang dimaksudkan ialah sikap dan tindak- tanduk sebenar manusia (walau semaju mana pun mereka) yang dapat kita lihat jika kita prihatin. Sikap dan tindak-tanduk ini biasanya terserlah tiba-tiba dan dipertontonkan di khalayak ramai secara tidak diduga atau tidak disedari. Kita ambil contoh mudah:
Lokasi: Di dalam bas atau tren atau di pejabat atau tempat-tempat awam yang penuh sesak dengan penumpang atau pelawat. Ada orang tua / warga emas/ orang yang keuzuran /sakit/ ibu mengandung atau OKU dsb terpaksa berdiri kerana tiada lagi tempat duduk yang kosong.
Peristiwa dan Aksi: Penumpang atau pelawat yang duduk terus sahaja duduk. Mereka itu jelas kelihatan sihat walafiat (kadang-kadang tempat yang dikhaskan untuk OKU pun kena kebas oleh bukan OKU!) Tiada siapa yang bangun menawarkan tempat duduk kepada para penumpang atau pelawat yang tua atau uzur yang terpaksa berdiri.
Malah ada yang tidak menoleh langsung kepada penumpang atau pelawat yang berdiri itu. Buat tak tahu … engkau engkau, aku aku. Mungkin mereka itu berpendirian , “Aku pun bayar tambang … atau aku pun dah tunggu lama … tak kan nak beri tempat duduk ini pada orang lain pula!”
Pemerhatian dan Reaksi: Mereka yang duduk sihat dan segar itu diperhatikan tidak langsung berasa bersalah ataupun segan membiarkan diri mereka ditonton sebagai golongan orang yang tidak punya perasaan kasihan terhadap warga yang lebih tua atau orang tak berdaya atau kurang upaya itu. Fikiran pemerhati yang melihat peristiwa begini tentu sahaja mengarah kepada kesimpulan bahawa mereka itu dari golongan yang tidak berbudi pekerti. Mereka pentingkan diri sendiri.
Mungkin mereka itu anak tunggal dalam sesebuah keluarga. Mungkin mereka tidak tahu berkongsi kemudahan sejak kecil. Mungkin ibu bapa mereka tidak mengajar atau menggalakkan mereka berbudi bahasa . Mungkin tiada contoh atau tauladan yang baik ditunjukkan kepada mereka dalam hal sebegini. Atau, mungkin sahaja mereka itu tak ‘makan’ ajar (nanti ada pula ‘loyar’ yang kata mereka ‘makan’ nasi!) dan mungkin macam-macam lagi.
Ironinya, kadangkala terlihat kalau ada yang berbudi bahasa bangun memberi tempat duduk … dah pula dikatakan cuba menunjuk-nunjuk … baiklah konon. Lebih teruk, dikatakan ada tujuanlah tu…macam ada udang di sebalik batu!
Diperhatikan,biasanya yang sanggup bangun dan ‘berbudi bahasa’ itu ialah golongan yang tak nampak ‘elit’. Maksudnya, budak-budak yang biasa-biasa aje … bukan mereka yang cukup bergaya (golongan atasan atau eksekutif?) yang berpakaian hebat (lengkap dengan jeket atau tali leher atau aksesori hiasan yang mahal-mahal.)
Diperhatikan juga ada di antara mereka yang kelihatan berpelajaran ‘tinggi’ (terus-terusan membelek-belek fail kerja pejabat atau dokumen perniagaan, membaca buku …novel percintaan?, majalah atau surat khabar dsb tanpa mengira keselesaan orang lain di sekeliling ruang yang sempit dan terhad) atau yang memang berpelajaran tinggi (dengan ego sendiri-sendiri) biasanya tidak sanggup berbudi pekerti dalam situasi ini.
Maka jelaslah bahawa mempunyai pelajaran tinggi sahaja tidak semestinya menjamin seseorang itu juga akan memiliki budi pekerti yang tinggi!
Pemerhatian khas: Dan … paling malang, ada pula mereka yang setelah ditawarkan tempat duduk (sama ada di dalam bas atau tren atau di pejabat atau tempat-tempat awam yang sentiasa sibuk dan sesak di Kuala Lumpur) tidak tahu mengucapkan ‘Terima Kasih’! (kepada pihak yang cuba menunjukkan sikap ‘berbudi bahasa’ atau mengamalkan didikan ‘berbudi pekerti’ yang semakin ‘menyusut’ di kalangan masyarakat moden kita sekarang.)
Subscribe to: Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment