Sunday, January 15, 2012

Pra-Haj




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

 

Penghargaan


Ketika teman dan isteri teman Alimah Yasin menjejakkan kaki di pekarangan Kompleks Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya kira-kira pada jam 6:30 petang hari Ahad 23 Oktober 2011 (bersamaan 25 Zulkaedah 1432H), teman terlihat ramai orang telah pun sedia berada di situ.








Mereka beramai-ramai datang mengiringi kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai masing-masing sehingga ke Kompleks LTH dalam usaha kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mereka itu melakukan perjalanan seterusnya menuju ke Tanah Suci.

















Walau bagaimana pun, mereka yang mengiringi itu tidak pula dapat terus bersama menemankan kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai masing-masing tadi melakukan perjalanan hingga ke beberapa keakhiran destinasi . . . yakni Makkah, Arafah, Muzdalifah, Mina . . . dan Madinah!














Kami berdua faham akan keadaan, kehendak dan keperluan peristiwa ini. Teman sendiri sering mengingatkan Alimah bahawa keberangkatan ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 ini seperti sesuatu yang tidak kita ketahui rahsia penghujungnya . . .













Seperti mereka yang disebutkan di atas tadi , teman dan Alimah juga diiringi ahli-ahli keluarga (semua anak/menantu), sanak saudara dan sahabat handai sehingga ke Kompleks LTH ini. Selepas ini nanti . . . teman dan Alimah kena 'pandai-pandailah' mencari jalan sendiri-sendiri untuk hidup berkampung di Tanah Suci dan daerah sekitarnya pada hari-hari berikutnya.













Teman jua sering mengumpamakan kepada Alimah bahawa pemergian begini mungkin suatu pemergian untuk selama-lamanya. "Itu . . . makanya . . . ahli keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai kita tidak 'berupaya' menemankan kita ke sesuatu daerah yang melampaui jangkauan mereka . . . hingga ke penghujung jalan."









Ketika melangkah naik tangga kapal terbang Saudi Arabian . . . hati teman berdebar. Teman tiba-tiba berasa semacam 'takut'. Teman mengaku . . . teman memang tidak berapa 'gemar' atau 'berani' naik kapal terbang . . . walaupun telah banyak kali menaikinya sebelum ini . . . baik untuk keluar negara menjalankan tugas rasmi atau untuk bersantai!














Hati teman terus sahaja berdebar-debar. Teman dapat merasakan sesuatu yang menginsafkan apabila melihat sekeliling. Ramainya orang berihram. Teman juga memakainya. Seperti jasad yang dikapankan!

Teman tiba-tiba membayangkan kapal terbang itu sebagai 'keranda' . . . dan semua orang sedia maklum . . . ke mana kelak destinasinya . . . jasad berkapan yang berada di dalam keranda!

Banyak lagi bayangan dan gambaran lain yang terbit dan bermain-main di minda teman pada ketika itu. Baik buruknya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.








Teman sendiri bimbang amat apabila mengenangkan tentang kematian. Teman sesungguhnya bukan hendak menganjurkan supaya kita berperasaan 'takut' sangat hendak mati. Apa yang ingin teman nyatakan ialah kita harus menerima kedatangannya tanpa perasaan 'takut' pada bila-bila masa . . . asalkan . . . kita telah bersedia.

Pokok persoalannya . . . adakah kita sudah benar-benar mantap dari segi persediaan dan bekalan untuk meyakinkan diri kita agar tidak lagi perlu 'takut' akan kematian yang mendatang? Jawapannya terletak pada diri kita masing-masing!









Apapun, teman mengucapkan setinggi-tinggi peghargaan kepada semua ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang bersusah payah melapangkan waktu, meyumbangkan tenaga, wang ringgit dsb mengujungi dan menemani teman dan isteri teman Alimah dalam usaha kami memulakan perjalanan ke Tanah Suci tempoh hari.

Terima kasih atas kehadiran anda semua . . . Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala niat yang murni dan budi yang baik itu.

Teman hanya dapat menyatakan SYUKUR yang teramat sangat . . . Ya Allah . . . kerana telah menggambarkan kepada teman . . . sesuatu yang menginsafkan . . . melalui permulaan kerja menunaikan Rukun Islam ke-5 ini.










dsuarang.blogspot.com


No comments: