Thursday, March 29, 2012

Travelog JB: Bertemu Hj Mohd Noh dan Isteri





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hectic yet Fantastic 2


Aku dan isteriku Alimah masih di Johor Baharu pada pagi Rabu 21 Mac 2012. Kami di hotel Grand Blue Wave. Akan berangkat pulang ke KL tengah hari nanti . . . setelah Alyn . . . selesai melaksanakan tugas rasminya.

Malam tadi ada sahabat-sahabat sekamar kami masing-masing ketika di Madinah datang berkunjung. Kami berasa amat gembira dengan kunjungan mereka.

Semalam aku juga ada menghubungi Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin. Beliau dan isteri Pn Hjh Khalijah Ali menjadi sahabat kami ketika kami sama-sama sejemaah Haj di Tanah Suci.

Pasangan suami isteri ini tidak pernah sekamar atau sekhemah dengan kami di mana-mana jua di Tanah Suci. Sesungguhnya pesawat penerbangan kami juga berbeza. Aku menaiki KT 70 mereka KT 88.



Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin


Puan Hjh Khalijah Ali


Kami hanya sering bertemu di meja makan dewan makan hotel Royal Eiman di Makkah. Setiap kali bertemu kami saling bertanyakan khabar kesihatan masing-masing. Perbualan kami menjurus kepada soal-soal ibadat dan kebahagiaan berkeluarga.

Alhamdulillah dengan kekerapan pertemuan yang sedemikian kami dapat merasakan kemesraan terjalin antara diri. Kami seperti sahabat baik yang sudah cukup lama mengenali antara satu sama lain.

Sementelah . . . isteriku Alimah dahulunya pernah tinggal lama di Singapura dan mendapat pendidikan rendah serta menengah di sana sebelum berhijrah ke KL. Perkara ini aku percaya menjadi faktor yang menambah eratkan silaturahim antara kami . . . apabila ternyata . . . Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah pun memang 'orang lama' dari kota singa itu. Macam jumpa geng sekampunglah jadinya!

Wah . . . 2 Hajah ni bukan main asyik berbual-bual. Bincang pasal apa agaknya?




Tentu ada perkara menarik yang dibicarakan. Pasal Tanah Suci . . . dan ehm . . . pasal Singapura ke? Suka hatilah 2 Hajah.

Perkara tersebut di atas mungkin sesuatu yang bersifat kebetulan. Namun tidak boleh dinafikan bahawa silaturahim yang terbina ini adalah semata-mata atas kehendak-NYA . . . atas anugerah dan keizinan ALLAH swt jua. Alhamdulillah.


Seperkara utama yang tidak dapat dinafikan juga ialah . . . pasangan suami isteri ini peramah dan mudah mesra. Mereka mudah didekati walaupun ketika baru dikenali. Pendek kata mereka berhemah tinggi.

 


Semangat Bersahabat
Dari kiri - Penulis, Hj Mohd Noh, Hjh Khalijah dan Hjh Alimah


Daripada persahabatan yang terjalin dalam tempoh yang agak singkat di sana dahulu . . . aku berani membuat andaian awal . . . bahawa Hj Mohd Noh seorang yang tegas tetapi berfikiran terbuka dan bijaksana dalam tindak bicaranya. Hjh Khalijah pula ternyata seorang yang periang, bertanggung jawab dan lurus dalam perhubungan antara insan.



Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah
Pasangan suami isteri yang berbahagia



Aku dapat memerhatikan bahawa Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah adalah pasangan yang cukup berbahagia. Semoga pemerhatianku ini tepat dan diberkati ALLAH swt. Amin.

Berbalik kepada hasrat kami ingin menemui mereka di JB . . . Hj Mohd Noh membalas panggilan telefon aku dan menyatakan akan datang ke hotel GBW tempat kami menginap.


Benarlah . . . pada jam lebih kurang 10:40 pagi . . . sahabat-sahabat kami itu tiba. Aku terus mempelawa mereka masuk dan duduk di ruang tamu.
 

Si cucu ni pun turut memeriahkan perbualan antara sahabat yang baru bertemu . . .


. . . sibuk dengan cara diam-diamnya aje . . . Ahmad Iman Iskandar . . . tak menyampuk pun.



Kami saling bertanyakan khabar. Kemudian kami berbual-bual. Antara banyak kisah yang dibualkan . . . aku tertarik kepada kisah benar yang dialami Hj Mohd Noh sendiri di sebuah kedai gunting di Makkah. Ceritanya kira-kira begini:

Pada suatu hari . . . selepas bertahalul muktamad . . . Hj Mohd Noh ingin membotakkan kepalanya. Beliau pun pergi ke sebuah salun gunting rambut di tingkat bawah hotel Royal Eiman. [Kalau tak silap aku nama salun si Arab tu ' Obedience Barber Shop'].


TKP . . .

Seterusnya biarlah aku paparkan sahaja dialog percakapan antara si Arab tukang gunting itu dengan Hj Mohd Noh . . . menurut apa yang diceritakan oleh beliau.

Barber: Ya Sheikh . . . cut hair . . . shave head?

Hj MN: Yes. (Dalam hati: OK lah . . . member semua kata bayarannya SR 50 sahaja.)

[Si barber pun mempersilakan Hj MN duduk di kerusi empuk tempat para pelanggan bergunting rambut di salun itu. Siap di balut kain ala apron leher Hj MN. Lengkap diberikan rawatan mask dan kain penutup muka berwap. Ada pula segala macam 'lotion' atau 'lumpur solekan' untuk mencuci atau melembutkan kulit muka. Lampu UV Ray pun dipasang . . . dan etc, etc.

Hj MN berasa pelik juga. Mengapa begitu hebat sekali treatment membotakkan kepala di salun si barber Arab ini . . . massage muka dan kepala pun diberikan.]

Hj MN: (Dalam hati: Wah hebat betul ni. Aku cuma nak botakkan kepala aje. Tak apalah . . . mungkin ini pakejnya!)

[Kira-kira sejam kemudian . . . selesailah kerja membotakkan kepala Hj MN. Sahabat aku itu pun dengan jujurnya hendak membayar SR 50 kepada si barber. Si barber pula dengan pantas menolak bayaran itu . . . lalu berkata, "SR 200 Sheikh!"

Hj MN terkejut dan menerangkan kepada si Arab tukang gunting itu,"I don't carry that much cash with me now. Let me go back to my hotel room . . . (di tingkat atas saja) . . . and I'll settle the payment . . . (demikian lebih kurang dialog penutup Hj MN dengan si Arab tukang gunting.)

Sama ada Arab tu faham apa yang diperkatakan Hj MN atau tidak . . . tak jadi hal. Apa yang menjadi kenangan ialah . . . barber itu terus saja mengangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata sesuatu seolah-olah mengerti . . . tetapi dengan menunjukkan isyarat mengerat leher pada Hj MN!

Of course . . . kemudian Haji Mohd Noh kembali ke salun itu untuk membayar wang yang dituntut si Arab barber tadi.

 
Tiba-tiba aku pula yang sibuk nak decode mesej yang hendak disampaikan si Arab barber itu apabila dia membuat isyarat tadi.

Mungkin saja . . . dia hendak mempersendakan pelanggannya itu. "Ha, terkena juga engkau . . . lehermu dah kena kerat " . . . atau . . . "Aku kerat saja lehermu jika kau tak datang bayar."

Bayangan pertama mesej itu . . . kelakar . . . he, he. Tetapi bayangan kedua mesej yang sama . . . (lebih berupa ugutan?) . . . agak menggerunkan . . . aggh! ]

Rupa-rupanya si Arab tukang gunting secara berdiplomasi berjaya 'memaksakan' pakej solekan muka di salunnya itu ke atas diri Hj Mohd Noh secara bersekali. Sahabatku itu pula . . . apo nak dikato . . . terpaksalah rela menerimanya . Tak apalah Tuan Haji . . . adalah hikmahnya itu!

Banyaklah lagi tajuk-tajuk bermanfaat yang kami bualkan. Perbualan berlangsung rancak hinggakan kami tidak terasa masa pantas berlalu.



Memang tidak terasa waktu berlalu . . . sekejap sangat ketikanya dapat bertemu

 

Si Ahmad . . . tetap ada juga di situ . . . 


Perbincangan berjalan rancak antara dua sahabat yang baru sempat bertemu . . . di Johor Baharu

Pada jam 12:30 petang Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah meminta diri untuk pulang. Kami juga mesti check-out pada jam 1:00 petang.


Maka kemudian berpisahlah kami . . . masing-masing menuju ke destinasi yang berlainan . . . dengan membawa kenangan yang menceriakan.



Pose istimewa penulis dan Hj Mohd Noh



Dan . . . insya-Allah . . . aku tidak akan mensia-siakan segala sesuatu yang diperolehi daripada perbincangan santai serta sesi 'nasihat menasihati' antara kami tadi . . . khasnya tentang Ayat 15 Surah Al-Ahqaf (Surah ke 46 dalam Al-Quran yang disentuh Hj Mohd Noh) yang berbunyi:



Keratan Ayat 15 Surah Al-Ahqaf


Maksudnya:

Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Tempoh mengandung sampai tempoh menceraikan susunya ialah selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa: "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redai; dan berilah aku kebajikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang muslim."

[Ref: Terjemahan Al-Quran Al-Karim - Rasm Uthmani - Dalam Bahasa Melayu terbitan Al Hidayah House of Qur'an Sdn Bhd]

Doaku . . . semoga kita dapat berjumpa lagi pada lain ketika.
Terima kasih sahabat.




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: