Thursday, July 24, 2014

Ramadan Semakin Berlalu






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hebatnya Ramadan 



Dua tiga hari lagi Ramadan 1435H akan meninggalkan kita.

Penulis ucapkan selamat jalan Ramadan. Semoga kita semua akan masih diizinkan Allah SWT untuk bertemu Ramadan lagi dan seterusnya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan yang mulia ini pada waktu-waktu mendatang. 


Sebenarnya setiap kali Ramadan tiba penulis sering terfikirkan sesuatu. Penulis terfikir alangkah baik andainya selepas Ramadan pun keadaannya terus begini.

Para jemaah begitu ramai beramal ibadat di surau-surau mahu pun di masjid-masjid. 

Umat Islam berlumba-lumba ke tempat-tempat ibadat yang suci itu. Maka penuh sesaklah surau-surau dan masjid-masjid di seluruh ceruk dan pelosok negara.

Maka semaraklah semangat umat Islam memakmurkan surau-surau dan masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan.


Hampir setiap pagi selepas waktu subuh penulis sempat menonton berbagai rancangan dalam slot-slot keagamaan di stesen-stesen TV memaparkan tindakan meluas umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan tahun demi tahun. 

Sambutannya meriah. Sungguh meriah! Suasana di surau-surau dan di masjid-masjid kelihatan ceria dan segar dengan kehadiran begitu ramai para jemaah yang bersolat fardu, bersolat Tarawih, berzikir, dan yang bertadarus . . . dan sebagainya. Alhamdulillah.


Namun apa yang sering terfikir di benak penulis yang bukan ustaz ini ialah tentang keadaan nyata yang wujud setiap kali setelah Ramadan berlalu. 


Para jemaah regular di surau-surau dan masjid-masjid yang berkenaan kebanyakannya bersetuju bahawa kehadiran para jemaah Ramadan di surau-surau dan masjid-masjid pasti berkurangan menjelang pertengahan Ramadan . . . dan merosot teruk pada penghujungnya.  


Penulis sendiri mengamati bahawa lazimnya selepas berakhir Ramadan pada sesuatu tahun surau-surau dan masjid-masjid akan menjadi 'lengang'. Para jemaah tidak ramai lagi. Tidak seperti sepanjang bulan Ramadan!


Kadangkala hendak memenuhkan dua saf para jemaah bersolat pada waktu-waktu sembahyang fardu pun susah. Waktu subuh lebih teruk keadaannya!

Antara beberapa persoalan yang selalu bermain di benak penulis: 

1. Ke mana hilangnya para jemaah yang begitu ramai mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid pada setiap bulan Ramadan?

2. Adakah para jemaah itu bukan orang dari kalangan penduduk kariah surau-surau atau masjid-masjid yang berkenaan itu sendiri?

3. Adakah para jemaah Ramadan cenderung mengamalkan ibadah "bermusim". 

Jawapannya . . . Allah saja yang maha mengetahui!

Penulis ingin menyentuh sedikit tentang hal bersolat Tarawih.

Memang eloklah semua orang berlumba-lumba menunaikan solat sunat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid.

Keadaan akan lebih sesuai lagi kalau mereka yang berlumba-lumba itu sudah siap menunaikan dengan penuh dan lengkapnya segala solat fardu terlebih dahulu.

Paling cantik kalau mereka itu memang merupakan golongan yang sudah tidak meninggalkan solat fardu sepanjang bulan bukan Ramadan pun!


Penulis tidak berniat mengutuk atau mencela sesiapa atau mana-mana pihak jua. 

Memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling pada setiap Ramadan kadangkala menimbulkan tandatanya di benak penulis. 

Cubalah bayangkan keadaan apabila ada di antara pengamal ibadah 'bermusim' ini sewenang-wenangnya mengkategorikan orang yang tidak kelihatan oleh mereka bersolat Tarawih sebagai orang tidak cukup 'Islam'!


Seterusnya orang yang dikategorikan tidak cukup 'Islam' itu akan dikelaskan pula sebagai orang yang tidak mengerti hukum hakam agama, tidak warak atau tidak mematuhi ajaran agama seperti mereka . . . kononnya. 

{Sesungguhnya, pada hemat penulis, mereka yang gemar 'menghukum' orang lain itulah biasanya golongan yang jarang-jarang sekali atau kurang kelihatan mengunjungi surau-surau atau masjid-masjid pada musim bukan Ramadan. Mereka itu juga besar kemungkinannya tidak konsisten melaksanakan tanggungjawab bersolat fardu yang wajib ke atas diri masing-masing.} 


Dan, sebaik Ramadan berlalu . . .  golongan itu akan terus lenyap dari pandangan . . . hinggalah tiba waktunya untuk muncul semula apabila Ramadan datang lagi!

Entahlah . . . sekali lagi, Tuhan saja yang tahu mengapa hingga terjadi sedemikian!

Penulis lantas teringat akan penjelasan Ustaz di kampung penulis dahulu. Ustaz kampung-kampungan. Bukan Ustaz elitis bandaran. 

Tidak seperti para Ustaz hebat . . . yang di sana-sini memberi ceramah perdana dan sebagainya. Tidak seperti mereka yang memimpin majlis tazkirah dan syarahan di tempat-tempat yang istimewa.


Seperti biasa . . . dengan gaya low profile beliau . . . Ustaz di kampung penulis itu memberikan penjelasan secara mudah. Dia menerangkan bahawa bersolat Tarawih hukumnya sunat.

Tidak salah kita menunaikannya asalkan kita tidak tersilap memberi keutamaan yang berlebihan terhadapnya.

Mengerjakannya dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa . . . sambung Ustaz itu lagi. 

Mari kita fikirkan secara mudah. Kalau kita sanggup berjemaah solat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid setiap malam pada bulan Ramadan, mengapa tidak kita berbuat demikian juga dengan solat-solat fardu lima waktu sehari semalam pada waktu bukan Ramadan?


Bertambah sedih lagi apabila suasana menjadi semakin lengang di surau-surau dan di masjid-masjid pada waktu-waktu solat fardu hari-hari biasa!


Pendeknya, janganlah sampai kita lebih utamakan solat sunat Tarawih daripada solat-solat fardu.

Bayangkan bagaimana jadinya jikalau saban malam sepanjang bulan puasa kita tidak putus-putus bersolat Tarawih manakala solat fardu lima waktu sehari semalam kurang kita beri perhatian atau tidak kita hiraukan langsung pelaksanaanya!


Tentunya akan sia-sia saja penat lelah dan lapar dahaga kita berpuasa! Tunggang-langgang nanti jadinya pegangan kita.






Maka pastikan kesempurnaan amalan yang wajib dahulu sebelum kita menambahkan ibadah kita dengan yang sunat pula.

Mari kita amati sepotong hadis soheh yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, tentang kata-kata A'isyah r.a. yang maksudnya lebih kurang begini:


"Nabi Muhammad SAW menunaikan solat di masjid (pada malam pertama) dan beberapa orang pun bersolat bersama-sama baginda. Baginda bersolat lagi pada malam kedua. Ramailah lagi orang bersolat bersama-sama baginda. Pada malam ketiga dan keempat lebih ramai orang berkumpul dan menunggu kehadiran baginda untuk bersolat bersama-sama. Rasulullah SAW tidak muncul (bertemu mereka). Apabila waktu Subuh baginda (bertemu mereka) dan bersabda,' Aku lihat apa yang kamu lakukan malam tadi. Tiada apa-apa yang menghalang aku daripada bertemu kamu melainkan kerana aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas 'kamu'. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan."


Penulis berharap kita mendapat mesej yang cukup jelas daripada penerangan di atas. 

Segala ibadah yang kita lakukan, khususnya pada bulan Ramadan ini, harus dengan cara paling tertib dan sikap yang rasional. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan.


Jangan sekali-kali perlekehkan mereka yang kelihatan seolah-olah kurang warak. Mungkin mereka lebih alim berbanding kita!

Akhir kalam . . . marilah kita sama-sama berdoa agar segala cara beramal ibadat yang telah kita zahirkan sepanjang Ramadan akan menjadi ciri kekal dalam diri kita . . . 'berterusan' dan tidak 'berlalu' seperti berlalunya bulan Ramadan dua tiga hari lagi.    

Wallahuaklam.





bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: