Friday, July 10, 2015

Serasi Serasikan











Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera 




Budaya Bahasa Daerah*

*(disesuaikan drpd entri dsuarang.blogspot.com siaran December 27, 2009)







Alimah Yasin





Ini secebis kisah tentang isteriku ketika baru-baru berkahwin denganku. Dia orang Pulau Sebang, Melaka. Namun bahasa yang digunakan di daerah kampungnya tetap bahasa daerah Negeri Sembilan.

Ini kerana Pulau Sebang terletak bersempadan dengan pekan Tampin, Negeri Sembilan. Bukan bahasa sahaja yang dipengaruhi slanga Negeri Sembilan. Adat dan budaya masyarakat Pulau Sebang juga banyak terpengaruh oleh adat dan budaya Negeri Sembilan yang terkenal dengan amalan Adat Perpatih.


Ceritaku ini bukan hendak mempersendakan sesiapa atau mana-mana pihak. Aku cuma terkenangkan beberapa peristiwa 'lucu' yang menimpa diri isteriku Alimah Yasin. 


Selepas kami berkahwin pada awal tahun-tahun 70-an, Alimah mengikut aku balik ke kampungku di Tapah, Perak buat julung-julung kalinya. 

Rumah kampungku itu harta Atuk Sharif dan Opah Aishah. Ketika itu ibu bapa dan adik-adik aku tinggal di situ. Bapaku menjaga dan memperbaiki rumah itu supaya terpelihara dan terus tegap berdiri.

Bahasa daerah di kampungku amat berbeza dengan bahasa daerah di Pulau Sebang. Slanga Perak daerah kampungku, walaupun tak setebal daerah-daerah tertentu di Perak, masih boleh mengelirukan.


Suatu hari kami berdua bersarapan dengan seisi keluargaku di rumah. Ada banyak makanan yang berbagai jenis terhidang. Tiba-tiba bapaku Baharom Shariff menyuruh isteriku begini:

"Tolong Mah ambikkan roti dalam tin tu. Teringin pulak bapak nak cecah dengan kopi ni."

Alimah terpinga-pinga. Dia melihat sekeliling. Dia memandang aku. Dia seolah-olah mahukan kepastian. Dia memerlukan pertolongan aku. Dia tidak memahami dengan jelas apa yang diperkatakan bapaku.


Aku tersenyum lalu berkata,"Mah, bapak mintak tolong ambikkan biskut dalam tin itu."

Isteriku pun bangun lalu mengambil biskut itu. Kemudian baru aku tahu daripada Alimah bahawa pada mulanya dia amat keliru dengan suruhan bapaku itu. 

Dia rupanya terfikir adakah memang orang Perak menyimpan 'roti' dalam tin. Patutlah dia melihat sekeliling pada waktu itu dan tercari-cari. Agaknya dia mencari tin besar yang menempatkan 'roti' itu!


Selain daripada istilah 'roti' yang biasa diguna pakai di kampungku untuk memaksudkan 'biskut' ada beberapa lagi 'istilah' yang boleh mengelirukan pendengar yang kurang biasa. 

Contohnya perkataan 'cekelat' yang bermaksud 'gula-gula', 'sia' bermaksud 'mangkuk tingkat', 'sangai' bermaksud 'tudung saji', 'pantalun' bermaksud 'seluar panjang', 'mereket' bermaksud 'pasar', 'tengin' bermaksud 'bodoh', 'teroyak' bermaksud 'menangis', 'ayor' bermaksud 'air', 'pasio' bermaksud pasir, 'sembe' bermaksud 'pasir halus (di tepi sungai) . . .  dll.








foto keluarga zaman itu




Sambung balik cerita keliru isteriku. Suatu waktu isteriku pergi ke 'mereket' menemani ibuku membeli ikan dan sayur-sayuran. 

Sedang mereka berdua membelek-belek barang yang hendak dibeli, datang seorang kerabat keluargaku ke arah mereka. Dia menyapa ibuku lalu bertanya:

 "Yong, ini ke tunang Majid?"

Ibuku mengangguk mengiakan soalan itu. Isteriku keliru lagi! 

Kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah, isterku bertanya kepada ibuku:

"Mak, kenapa orang tu tadi tanya saya ni tunang Uda (panggilan terhadap diriku dalam keluarga). Kan kita orang  dah kahwin. Dia tak tahu ke?"

Ibuku selamba menerangkan kepada Alimah :

"Orang kat sini sebut 'suami-isteri' tu 'tunang'." 

Isteriku tunduk diam. Ha . . . Satu lagi istilah daerah kampungku dipelajarinya!







aku dengan si dia . . . hmm




Pendeknya banyak peristiwa begini yang berlaku. Tetapi yang paling melucukan (mengerikan?) isteriku telah berlaku ketika dia sedang mandi di bilik air rumah kampungku.

Ketika itu bilik air itu betul-betul di bahagian tepi luar rumah. Bapaku hendak ke kolam yang terletak jauh di belakang kawasan rumah. 

Bapaku menuju ke bilik air rumah terlebih dahulu. Mendapati pintu bilik air terkunci bapaku bersuara:

"Siapa dalam bilik ayor ni?"


Isteriku menyahut:

" Mah pak."

Bapaku berkata lagi:

" Ha, tolong bagi bapak cebok."


Suasana senyap sepi seketika. Tiada kedengaran suara Alimah. Pasti sekali lagi isteriku diserang kekeliruan! 



Lama juga bapaku menunggu di luar bilik air. Kemudian . . . agaknya baru bapaku teringat. 


Menantu barunya ini bukan orang Perak. Mesti ada kekeliruan pemahaman 'istilah' ni!


Lalu bapaku pun bersuara lagi:

"Ha, Mah ... bagi bapak gayung tu."



Kami di Perak mengistilahkan 'gayung' (pencedok air) itu sebagai 'cebok'.

Bukannya bapaku tadi hendak 'mencebokkan' menantunya! Tobat lahum tidak!












tiada kata seindah bahasa,










tiada gambar secantik lukisan ...






bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: