Saturday, November 26, 2016

Pencen 2001




Assalamualaikum
 dan 
Selamat Sejahtera



Alhamdulillah, Syukur Nikmat 




Aku bersara wajib pada bulan September, 2001.

Dah puas rasanya bekerja. Mencari nafkah hidup untuk diri sendiri dan keluarga.

Maka apabila tiba ketikanya untuk bersara, aku rela dan amat bersukacita.

Paling utama aku bersyukur ke hadrat Allah swt yang telah mengizinkan aku berpencen dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Paling tidak, selepas berpencen aku tiada lagi 'tertekan' oleh bebanan kerja atau tekanan rasmi-rasmian.

Dan ... kerana itu, in shaa Allah dapatlah aku 'menampal' atau 'menokok tambah' apa sahaja amalan untuk kemudian hari.

Amalan yang telah sekian lama terabai dan terkurang'!

Tanpa berselindung atau memberi seribu macam alasan aku mengakui . . . ketika bekerja dahulu . . . ada waktu-waktunya amal ibadat untuk akhirat yang patut diutamakan daripada perkara keduniaan tidak selalu mendapat tempatnya yang wajar!

Pendekkan cerita, ramai orang takut atau ragu-ragu juga apabila hendak pencen atau bersara daripada pekerjaan masing-masing.

Bimbang kalau-kalau tidak berkemampuan menyara hidup di hari tua. Khususnya, bagi mereka yang tidak berpencen!

Aku termasuklah dalam golongan mereka yang telah bersara daripada jawatan ... dan tidak menikmati kemudahan berpencen bulanan.

Alahai, dalam istilah orang sekarang ... 'Tak ada masyuk-uk-uk. Kesannya kurang fulus le beb!'

Namun, aku tetap bersyukur. Selagi ada hayat tentu ada pula rezeki diperuntukkan Allah swt kepada sekalian hambanya.

Itu aku percaya!

Berikut ringkasan cerita pencenku. Tak le sehebat mana. Sekadar untuk 'baca-baca' ... buat suka-suka ... bak kata dema!


Mantera Seorang Pesara


I


Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas. 


Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.

II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 


Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.



AMB


bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: