Thursday, November 24, 2016

Botak Bukan Fesyen









Assalamualaikum
dan
Selamat Sejahtera



Botak Head



{Setelah selesai segala kerja haji yang rukun dan wajib ke atas diriku . . . dan setelah melihat wajahku berkepala botak di cermin . . . tiba-tiba aku terbayang kembali suatu kisahku di bangku sekolah dahulu . . . }








Kisahnya . . . 

Tahun 1956. Aku dalam darjah lima di sekolah rendah. Pasar Road English School (One) sesi petang. 


Pada masa itu bapa saudaraku Lokman Shariff tinggal bersama di kuarters bapaku bernombor PWD 2139-2.


Kuarters Kerajaan itu terletak di Jalan Nakhoda Yusuff, Kg Pandan (off Circular Road).


Aku sering melihat bapa saudaraku itu bercukur. Pada suatu hari aku teruja hendak mencuba bercukur juga!

Aku masuk ke bilik bapa saudaraku itu setelah beliau pergi bekerja di pejabatnya.

Lantas . . . aku mengambil blade pencukur yang terletak di atas almari bujang bapa saudaraku itu.

Aku pun mula cuba menggunakan blade itu! 

Nah . . . oleh kerana aku tidak punya janggut atau misai ketika itu, maka aku halakan saja blade pencukur itu kepada rambutku le!

Memang aku tidak pro menggunakan blade pencukur itu. 

Apa lagi tobek sana tobek sinilah jadinya. Macam gaya tikus membaiki labu!


Pada sebelah petang hari itu bapa aku pulang dari pejabatnya. 

Bapaku terus sahaja terlihat akan keadaan rambut yang bertobek-tobek di sekeliling kepalaku.

Bapak amat marah lantas menyuruh aku duduk di atas sebuah kerusi dan berkata:

"Duduk sini . . . biar bapak botakkan saja kepala kamu ni!"

Aku sangka bapak hanya hendak menakut-nakutkan aku. 

Rupa-rupanya, beliau betul-betul membotak licinkan kepalaku!

"Ya Allah . . . macam mana aku nak ke sekolah esok hari," fikirku. "Mesti kena ejek punya" .

Pada zaman persekolahan aku dulu . . . 'membotakkan kepala' bukan suatu trend seperti masa kini.

Bukan menjadi  macam suatu fesyen seperti lumrah sekarang! 

Ketika itu . . . sesiapa yang berkepala botak memang tidak lepas daripada usikan dan ejekan orang di sekeliling . . . rakan sebaya khasnya!

" Botak head, botak head," dan siap dengan berbagai pantun seloka yang kurang sedap diterbitkan di sini!

Aku tentulah amat malu dan marah apabila di ejek-ejek begitu.

Lama juga aku berkeadaan sedemekian. Menanggung malu . . .  hinggalah rambut aku tumbuh semula!

Apa yang aku tidak faham ketika itu ialah mengapa bapa aku menjadi amat marah. 

Apalah salahnya aku try mencukur sedikit sahaja rambutku.

Aku tidak terfikir langsung . . . rupanya bapaku amat risau kiranya aku melukakan diriku sendiri dengan memandai-mandai menggunakan blade pencukur yang amat tajam itu!

Jadi, tindakannya membotakkan kepala aku itu adalah untuk mengelakkan aku daripada melakukan kerja-kerja 'bodoh' seperti itu lagi.

Memang aku pun cukup jeran selepas peristiwa itu!


Seperkara lagi yang telah aku  pelajari ialah anak-anak gemar meniru perlakuan orang dewasa walaupun mereka tidak memahami hujung pangkal sesuatu perlakuan itu.

Monkey see monkey do!

Dan, untuk mengelakkan kemalangan, orang dewasa pula harus berhati-hati meletakkan atau menyimpan peralatan yang tajam atau berbahaya supaya jauh daripada jangkauan kanak-kanak.


Sekadar bercerita untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan teman-teman dan para pembaca yang budiman.





bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: