Tuesday, January 8, 2013

DIA PENCIPTA





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Renungan Tahun Baru 


Aku rasa relevan sangat menghadirkan sedikit catatan di ruang ini . . . untuk merakamkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi kepada aku sekeluarga . . . dan mudah-mudahan juga kepada para pembaca yang budiman . . . selama ini. 
 .
Ya Allah . . . berkatilah kami semua terus menerus. Sesungguhnya tanpa pertolongan-MU Ya Allah . . . entah bagaimanakah keadaan kami dan di manalah pula tempat kami!

Aku bersyukur masih diizinkan-NYA menulis dan berfikir seperti dahulu . . . ketika aku berkhidmat sebagai seorang editor. Sudah lebih daripada 11 tahun aku bersara wajib sekarang.

Sepanjang tempoh hidup ini . . . Allah swt telah memberikan kepada aku sekeluarga segala kenikmatan yang diidamkan oleh hambanya. 


Aku percaya para pembaca yang budiman juga telah dianugerahkan Allah swt rahmat dan nikmat yang sama. Alhamdulillah.

Namun . . . kadangkala adalah juga ujian dan dugaan terhadap kesabaran dan ketabahan hati ini dalam menjalani hidup sehari-hari. 

Aku tetap bersyukur dapat melalui atau mengalami keadaan yang sedemikian kerana aku percaya setiap ujian Allah itu membawa bersamanya sesuatu kebaikan yang tidak terduga oleh akal manusia.


Tentu sahaja ada hikmahnya! 


Aku yakin para pembaca yang budiman juga ada berhadapan dengan ujian dan dugaan yang sedemikian dari masa ke masa. Aku juga yakin segala ujian dan dugaan itu . . . dapat jua diharungi dan diatasi . . . dengan tabah . . . dan hati penuh reda akan qadak dan qadar Allah swt. 

Dan . . . sebagai hamba yang kerdil . . . aku hanya mampu bersyukur, bersyukur dan bersyukur. 

Maka pada awal tahun 2013 ini . . . aku paparkan bisikan hatiku dalam bentuk puisi yang tidak sepertinya . . . dengan penuh kerendahan hati dan keinsafan. 


Ampunilah hamba-MU ini Ya ALLAH.



Fikir fikirkan


jika matahari cukup sasa
bagaimana pula Penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pencetus segala kuasa
jauh lebih perkasa!

 jika bulan cukup indah
bagaimana pula Penciptanya
fikir fikirkan . . .
tentu pemberi segala anugerah
jauh lebih menyerlah!

Maha Suci Allah!

bagaimana langit tiada bertiang
mengapa wujud malam dan siang
apakah tidak berasa hairan
angin bertiup berarak awan
ada ribut ada hujan
ada laut ada daratan!
planet bergantungan di angkasa lepas
terapung bebas
semuanya menawan
betapa pula Penciptanya
fikir fikirkan . . .

Maha Suci Tuhan!

guruh dan kilat
siapa yang empunya kudrat
lembah bukit gunung dan tasik
gerun dan cantik
tumbuh-tumbuhan
haiwan nan pelik
fikir fikirkan . . . 
siapa yang mentakhlik
ada ringan ada berat
mentari mesti terbenam di barat
fikir fikirkan . . . 
mengapa jadi lumrah sejagat
ada mula ada akhir
sungai mesti mengalir ke hilir
fikir fikirkan . . .
siapa yang empunya takdir!



Abdul Majid Baharom
(kemaskini 8.1.2013)






Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Saturday, January 5, 2013

Bercakap Jujur




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Reality Bites

Mengambil ingatan daripada entri facebook Mohd Suhaimi . . . aku teragak pula mengulang terbit siaran 5 Julai, 2010 dalam blog dsuarang mengutarakan sebuah puisiku yang isinya bermaksud sama.




Kalau sudi meneliti dan cuba memahami apa yang dimaksudkan penulis dalam tulisan berikut ini pun jadilah . . .






Berusahalah mengerti apa yang tersirat bukan hanya apa yang tersurat. 

Lebih baik memiliki lidah yang sentiasa bertutur jujur dan berterus terang daripada yang berdolak-dalik dan mengata orang!











Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Friday, January 4, 2013

Hal Merokok Lagi




Catatan Penulis:


Berikut merupakan ulang terbit tulisan yang disiarkan dalam blog teman ni pada 23 Julai 2010 (Jumaat). 

Sekadar peringatan kepada mereka yang teman sayangi. Kalau nak ikut Alhamdulillah . . . kalau tidak terserah . . . 


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Berhenti Merokok! 


Anda merokok? Sikit-sikit? 
Social smoker? Bukan perokok tegar? Tak sedut asap masuk dalam? Sekali sekala? Bila pergi ke tandas aje? Bila mencari ilham? Bila menulis? Bila mencipta lagu? Bila bekerja? Bila resah atau gelisah? Bila kecewa? Bila kesunyian?

Atau anda dah berhenti . . . membeli? (Hisap masih "on"). Begitulah antara berbagai-bagai alasan yang diberi perokok untuk "menghalalkan" kegiatan merokok mereka.

Hai kome . . . usah nak temberang le. Teman pun dulu ngisap juge! 
Terror juge kata deme . . . Mana taknya . . . empat kotak (pack) 20 batang sehari. Maknanya 8o batang tu weh! Bila teman nulih (konon) . . . lagi teruk. Dah sampai peringkat "chain-smoking". 

Sebatang lepeh sebatang. Siling bilik tempat teman nulih kat pejabat teman dulu tu udah naik kunin jadinya. Akibat asap rokok! Opis teman tu sudah lama diisytiharkan sebagai "Zon Larangan Merokok". Tapi sebab teman ketagih rokok teman buat tak peduli aje. Dege . . . bantoh tue kata orang Perak. Bos teman dah naik maleh nak negor perilaku teman.

Agaknya dalam hati bos tu . . . ada suara marah dan menyampah kot. Agaknya dia berkata sendiri-sendiri:

"Lantak kome le kalau kome dah mintak nak mati sesangat. Nak mati awe le tu."

Sesungguhnya penulis tergerak hati menulis tentang soal ketagihan rokok ini kerana terfikir di benak penulis betapa bahaya kegiatan merokok ini!

Sekarang penulis perhatikan kegiatan merokok telah berleluasa sehingga ke tahap yang tidak terkawal langsung. Sudah terlalu ramai perokok tegar termasuk mereka yang masih muda di bangku sekolah. Ada yang baru berada dalam alam persekolahan rendah pun!

Perokok muda ini sudah tidak malu merokok di mana-mana sahaja dan di hadapan sesiapa pun. Sambil berjalan memakai pakaian seragam sekolah, di hadapan khalayak, di depan pintu "gate" sekolah, di depan cikgu dsb.

Papan tanda dsb di "Zon Larangan Merokok" tidak langsung diambil peduli. Tidak langsung diendahkan mereka. 

Perokok tegar atau degil tetap merokok di kawasan hospital, di kawasan pejabat kerajaan atau swasta, di kawasan sekolah atau pusat pengajian tinggi, di kompleks membeli-belah, di hotel, di dewan orang ramai, di panggung wayang, di dalam restoran, kedai makan (walaupun yang berhawa dingin) dan lain-lain lagi.

Ada banyak lagi yang hendak penulis sebutkan. Tetapi jika dicatatkan kesemuanya maka senarainya akan berjela-jela panjang. Cukuplah sekadar yang tercatat secara umum ini.

Penulis hanya hendak mengutarakan tentang bahaya merokok. Penulis dah insaf setelah pernah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sakit dada! Cukup bahaya. Seksanya terasa. Perit.

Alhamdulillah, mujur penulis sempat berhenti dengan serta merta. Mujur Tuhan masih mengizinkan penulis membuat keputusan yang tepat. Kalu tidak entahlah . . . 

Sekarang penulis sudah tidak merokok lagi (sudah lebih sepuluh tahun kini). Syukur kesihatan penulis jauh lebih baik berbanding daripada masa kuat menghisap rokok dahulu.

Cubalah berhenti merokok . . . banyak manfaatnya. Berhentilah demi sayangkan diri sendiri dan orang lain (tentunya ada) yang anda sayangi. 

Anak-anakku, ahli-ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, rakan dan taulan, seterusnya semua yang membaca tulisan ini . . . sudilah timbang-timbangkan untuk terima peringatan yang teman berikan dengan ikhlas ini.

Dah putih dah rambut teman sekarang . . . Masa rambut hitam dulu macam kome juge le . . . kurang nak nerima nasihat orang!

Apapun selamat mencube berhenti merokok. Insya-Allah berjaya.




Rambut Sudah Putih


Jangan melulu
fikirkan dahulu ...
ini nasihat untuk kau orang
rokok elok dilarang
mesti dicegah
sekarang!

Tiap sebatang yang dinyala
dah sah bawa bencana
nanti akhirnya kau orang merana!
tiap kali rokok disedut
jantung kurang berdenyut
paru-paru menjadi reput!
salur darah turut mengecut
pernafasan jadi semput
silap hari bulan nyawa diragut!
insaf segera
mengapa mahu sia-sia
mengundang maut?

Habis duit tak kiralah sangat
serangan penyakit yang patut diingat
bila dihinggapi barah
parah!
barah mulut
kanser perut
barah tekak
kanser otak
kerap juga barah kerongkong
si perokok tanggung!

Tak usah malu pada member lain
lantaklah
kalau kau orang
tidak dikatakan geng tulen...
daripada berpenyakit
daripada terbaring di katil pesakit
daripada merintih penuh kesal...
bila kau orang terlantar di hospital!

Tembakau
dibaluti kertas
digulung kemas
disumbat gabus
hujung puntung 
lantaklah kalau kau bawa rona pada:
para seniman yang cari ilham
si berhutang yang cari tenang
si runsing yang cari hening
si kecewa yang cari bahagia...
yang nyata 
penghisap jadi kaki tagih
tak dapat rokok air liur meleleh
akibat nikotin memenuhi saraf
akibat konon nak jaga taraf
akibat pendirian tidak teguh
akibat mudah terpengaruh...
kau orang leka
tidak peka
bahawa rokok 
sungguh-sungguh
MEMBUNUH!

sebatang rokok
diketuk 
tersepit di celah dua bibir
dicucuh api
dihisap
lahap
apalah erti?
cuma mempercepat mati!

Maka kalau perokok eloklah BERHENTI
Kalau belum merokok eloklah HINDARI!


(puisi asal terilham pada Ogos 4, 2005)










dsuarang.blogspot.com

4 comments:

armouris said...
info tentang merokok di SIHAT SELALU - Gambar Kanser Mulut Akibat Merokok
Bamuda d' SUARANG said...
Terima kasih armouris.Will do. Moga banyak yang cepat sedar. Insaf.
Raziff Lokman said...
...teringat pasal cerita "social smoking ni...(selama mungkin 10 tahun dh jadi social smoker..susah nk berhenti sbb kawan2 semua smoker)

...tahun lepas (Feb2009), selepas stress test.. "blackoutSha" & kena tahan di wad..Dr Shatar (pakar IJN) suspek sikit problem kt jantung...sbb ECG mcm tk okay je..mcm test dibuat...last sekali engiogram..result 100% jantung cantik...fuhh lega

Pagi hari nk keluar wad tu:
Dr Shatar: Awak merokok ke?
Saya: Social smoker je doktor..
Dr Shatar: Hope you will not become my Social Heart Patient je lepas ni...

...terus berhenti sejak hari tu!
Bamuda d' SUARANG said...
Salam Zif,

Interesting episode! Tahniah kerana telah masuk kelab "Tak Nak!"

Mudah-mudahan terus begitu. Jangan jadi macam Uda dulu . . . Dah berhenti merokok sebaik saja lepas berkahwin dgn Kak Uda (1972).Atas kemahuan sendiri. Bukan kena paksa.

Tapi,member plak asyik dok sound:

"Hai dah berhenti merokok nampak . . . Takkan takut bini kot!"

Alamak terjejas male ego ku! Dan akibat 'kebingungan' sendiri, Uda balik merokok.

Lepas tu sampai tahun 1999 baru benar-benar stop (mudah2an kali ni kekal le ...)

Apapun "Better late than never" . . . cakap omputih sikit he,he.
Nuffnang Ads

Tuesday, January 1, 2013

Perokok dan Tabiat Merokok



Assalamualaikum  



Sekadar peringatan pada awal Tahun Baru 2013 . . . aku turunkan semula tulisan yang pernah dipaparkan dalam siaran blog ini pada Ahad, Januari 2010 menyentuh perokok dan tabiat merokok . . . dan ikhtiar bagaimana aku keluar daripada tabiat buruk dan tidak menguntungkan ini. 

Cara aku berhenti merokok ini tidak semestinya yang terbaik. Setiap perokok individu tentu ada caranya yang  tersendiri. Amalkanlah cara yang paling selesa dan sesuai dengan diri anda.

Sekarang terpulanglah kepada para pembaca yang budiman (khasnya ahli-ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat-sahabatku yang tersayang) sama ada sudi terus membaca tulisan dalam siaran di bawah ini . . . dan setelah itu . . . mempertimbangkan dan berusaha untuk menjadikan azam berhenti merokok ini suatu kenyataan. 

Jika sebaliknya . . . biarkanlah sahaja segala-galanya berlalu bagai berlalunya sesuatu yang tidak membawa sebarang kesan . . . ibarat mencurahkan air di daun keladi!

Demikian catatan serba ringkasku. Aku harap dapat jua membawa manfaat kepada usaha berhenti merokok di kalangan ramai perokok tegar! 

Maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kata-kataku ini . . . tetapi sayangilah diri anda . . . dan mereka yang menyayangi anda.

Mulakannya sekarang dengan penuh azam!




[Ulang terbit]


Hendak Seribu Daya

SUNDAY, JANUARY 3, 2010


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Akhirnya 'Tak Nak' Jua 



Seperti yang aku janjikan kelmarin ... ini lanjutan cerita bagaimana aku berhenti merokok. Tidak ada sebarang petua yang aku ikut. Tiada apa-apa pantang yang aku turut. Aku cuma berpegang kepada ketabahan hati dan keazaman diri. Aku percaya dengan ungkapan "Hendak Seribu Daya". . .

Dulu pada suatu ketika dalam tahun-tahun 80-an aku pernah berhenti merokok. Aku cuba mengunyah bunga cengkeh dan memakan gula-gula dsb. kononnya sebagai ganti. Tak menjadi. Lepas empat bulan berhenti, aku merokok kembali. Malah makin menjadi-jadi. Tak mujarab. Aku merokok semakin kerap!

Aku terfikir akan suatu resmi biasa manusia. Barang yang mudah dapat mereka tak suka. Barang yang sudah terlalu banyak jadi tidak berharga. Sesuatu yang berlebihan boleh memualkan. Aku terfikir lagi apa salahnya aku cuba 'membosankan' diriku dengan melihat terlalu banyak rokok di merata-rata kelilingku. Baik aku praktikkan teori mudah sendiri-sendiri ini.

Aku pun membeli berkatun-katun rokok. Aku biarkan tersimpan di sana sini. Lantaklah terletak di mana pun. Aku biarkan saja kotak-kotak rokok yang belum dibuka, yang penuh, yang separuh penuh,yang hampir kosong dan yang sudah kosong tersepah di merata-rata. Di rumahku, di pejabatku, di dalam keretaku. Pendeknya di mana-mana tempat kebiasaanku. . . Aku akan terlihat rokok, rokok dan rokok!

Rokok yang telah aku hisap seluruh atau separuh akan aku biarkan bertaburan di tempat-tempat kebiasaanku yang tersebut tadi. Aku tak benarkan sesiapa mengemas tempat-tempat itu. Aku tak mahu puntung-puntung rokok itu dibuang.

Paling drastik . . . apabila aku teringin sangat hendak merokok aku letakkan saja sebatang rokok di bibirku. Aku biarkan rokok itu berada di bibir selama waktu yang aku mahu. Aku tidak menyalakannya! 

Biasanya tembakau rokok itu akan basah dan rokok menjadi lembut atau patah kerana disalut air liur secara berterusan. Bau tembakau yang bersalut air liur . . . tahu-tahu sajalah . . . memang tidak menyenangkan!

Aku ingat aku selalu berbuat demikian ketika memandu kereta dari rumah ke pejabat pada setiap hari bekerja. Jarak perjalanannya tidak jauh. Hanya kira-kira 50 kilometer. Tetapi, laluan merentas jalan yang sentiasa sesak dengan 'jam' dan seribu satu macam kerenah pengguna jalan raya memang mencabar kesabaran. 

Dan, ketika itulah pula aku sentiasa ketagihkan rokok! Aku akan melakukan perkara yang serupa berturut-turut hari, minggu dan bulan. Sepit rokok yang tidak dinyalakan api pada celah jari atau bibir.

Aku juga masih ingat akan ada mempunyai sebatang rokok yang tidak dinyalakan tersepit sama ada di celah jariku ataupun di celah bibir hampir setiap waktu aku berihat atau bekerja. 

Pada waktu-waktu begitu ramai ahli keluarga dan kawan-kawanku agak kehairanan melihat telatah aku. Mereka selalu menegur kenapa aku tidak menyalakan api pada rokok yang macam hendak aku hisap itu!

Mereka mungkin ingat aku terlupa berbuat demikian . . . Pada hal mereka inilah juga yang kuat mendesak aku supaya berhenti merokok. Agaknya mereka sudah bosan menasihati aku. Lantas pegang saja pada ungkapan Inggeris,"You can't beat them join them". Mujur mereka itu tidak ekstrem sampai terikut jadi perokok pula!

Sesungguhnya (pasti dengan izin-NYA jua), lama-lama usaha aku itu berkesan. Aku jemu melihat rokok. Aku hilang rasa ketagih terhadap rokok. Kepada asap rokok pun aku sudah tidak sudi. Aku jadi benci. Aku tidak teragak-agak. Aku dah 'Tak Nak' (curi ilham iklan nasihat KK le sikit).



Sekian ceritanya. Pengalaman aku tentang usaha berhenti merokok. Ini cara aku sendiri. Aku lakukan semampu aku. Kalau nak cuba ... ... ... cubalah. Atau, kalau ada cara lain yang lebih sesuai ... ... ... lakukanlah.

PEROKOK BOLEH Insya Allah!










Blog @: Bamuda d' SUARANG