Thursday, August 8, 2019

Kami Datang Nak Raya




Assalamualaikum 



Kebiasaan yang kurang elok ...


Pernahkah anda melalui pengalaman begini pada bulan Syawal setiap tahun. Sebilangan besar penganut agama Islam biasanya akan merayakan Aidilfitri yang mulia selama sebulan. Bagiku, pada setiap hari raya setelah ke sana sini, aku akan berehat sahaja di rumah. Aku hanya terfikir . . . jika ada tetamu datang . . . berikan sambutan dan layanan yang sewajarnya. 

Suatu hari ... setelah selesai membaca berbagai-bagai berita suka duka, pilu ngilu, geli ngeri, sedih pedih, parah dan marah di dalam akhbar tempatan . . . aku terlena seketika di atas kerusi kayu di ruang hadapan rumahku. Agaknya kerana sudah banyak sangat memakan juadah musim raya atau . . . badan dah cepat terasa penat sekarang . . . (maklum si badan ni dah 'lama' juga berkhidmat).

Tiba-tiba aku dikejutkan daripada berkhayal pada waktu siang hari. Aku terdengar suara orang memberi salam di hadapan pintu pagar rumahku.

"Assalamualaikum. Kami datang nak raya . . ."

Aku masih pisat berbaring. Aku terdengar lagi ucapan salam diulangi. Sudah masuk tiga kali salam diberi. Dan, sudah tiga kali juga kata penyambung salam iaitu . . . "Kami datang nak raya" . . . aku dengari.

Sah itu suara sekumpulan kanak-kanak (sekitar usia 6 hingga 10 tahun) yang pergi dari pintu ke pintu di kawasan taman perumahan untuk beraya. Entah dari mana mereka itu. Mereka bukan anak-anak dari kawasan ini.

Sebaik sahaja aku bangun untuk ke pintu hadapan rumah, kumpulan kanak-kanak itu sudah beredar pergi ke arah rumah sebelah. Aku perhatikan mereka kemudiannya ke rumah-rumah yang lain pula.

Aku terfikir, "Ah . . . mungkin mereka itu tahu. Mungkin ada ustaz atau guru atau ahli keluarga atau sesiapa yang telah memberitahu mereka. Kalau dah beri salam 3 kali di hadapan rumah orang . . . tak ada jawapan . . . bergeraklah. Tandanya mungkin penghuni rumah tidak mendengar ucapan salam itu . . . atau, si penghuni tidak sudi melayan kedatangan atau kehadiran tamu . . . apatah lagi tamu yang tidak diundang!"

Apa pun, bukan soal salam kanak-kanak itu terjawab atau tidak yang menjadi pokok perkara dalam situasi ini. Ada perkara lain yang harus diambil berat khasnya oleh para penjaga atau ibu bapa kanak-kanak itu. Soal keselamatan diri mereka!

Kanak-kanak sekarang memang berhati 'berani'. Tidak macam kanak-kanak zaman aku dulu. Hendak bercakap dengan orang tidak dikenali pun takut. Sementelahan . . . hendak pergi berkunjung ke rumah-rumah orang yang tidak dikenali secara bersendirian! Entahlah, tidak terangkat kaki ini rasanya!

Dalam situasi ini penulis tahu bahawa kanak-kanak tadi berharap untuk mendapat 'duit raya' daripada para penghuni rumah yang mereka kunjungi kelak. Memang sudah resmi kanak-kanak seperti mereka berhati telus. Mereka tidak sekali-kali berfikiran 'negatif' terhadap orang lain, walau pun orang itu tidak mereka kenali.

Bayangkan apa yang boleh terjadi kepada kanak-kanak itu sekiranya ada di antara penghuni rumah-rumah yang mereka kunjungi itu tidak stabil dari segi mental. Atau, jika ada pula penghuni itu yang bersifat penjenayah seksual dsb. Dengan mengumpan sedikit wang atau benda permainan yang menarik minat kanak-kanak segala kemungkinan boleh terjadi.

Kanak-kanak bukan macam orang dewasa yang mudah berprasangka terhadap orang lain. Mereka tidak pandai menyimpan perasaan syak wasangka terhadap orang . . . lebih-lebih lagi orang dewasa. Kepada mereka semua orang itu mesti baik.

Ya . . . memang kanak-kanak sekarang berhati 'berani' dan kelihatan 'maju' dari segi percampuran berbanding dengan kanak-kanak zaman dahulu. Tetapi, barang diingat masyarakat dahulu kuat 'mengajar' anak-anaknya supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam segala tindak tanduk mereka. Berwaspada dalam segala urusan atau hubungan dengan orang lain.

Malangnya segala cara pengajaran dan pendidikan zaman dahulu sering dianggap 'kolot' sehinggalah setelah sesuatu perkara buruk berlaku. Sudah terhantuk baru tengadah. Apa gunanya.

Renung renungkan . . .




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Biarkan Biarkan


Assalamualaikum 




Aku Manusia Biasa



Ketika aku masih bekerja dahulu para pegawai bawahan dan bos-bos atasan semuanya mengenali aku dengan singkatan nama AMB. Baik di dalam mesyuarat atau pada waktu kerja biasa mereka amat setia memanggil aku dengan singkatan nama itu.

Kadang-kadang aku sendiri pun secara "senang" menerima panggilan itu tanpa mempersoalkan mengapa mereka tidak "boleh" atau kurang "gemar" menggunakan nama aku yang sebenar . . . Abdul Majid Baharom (memang singkatannya AMB . . .) Setiap kali mereka menyebut namaku mesti singkatan nama itu yang kedengaran. Ada yang sampai memanggil aku Encik AMB. Suka hatilah!





Encik 'AMB'
mengacarakan suatu majlis


Pada suatu hari, selepas suatu mesyuarat mingguan, salah seorang daripada kawanku di dalam Jawatankuasa Pengurusan telah bertanya kepada aku.

" Jid, engkau sedar tak . . . singkatan nama engkau yang mereka gunakan apabila memanggil engkau tu apa maksudnya?"






Biarlah Begitu




Aku dengan selamba menjawab, " Alah . . . singkatan nama salah sebuah bank le tu . . . supaya senang mereka ingat. Nak kata maksudnya 'Aku Masih Bujang' . . . anak dah enam!"

Kawanku ketawa. Kemudian dia berkata dengan nada serius," Biarkan mereka terus memanggil engkau dengan singkatan itu."








Dunia Ku





Aku Manusia Biasa
Abdul Majid Baharom


Tiba-tiba aku berkata kepada diriku," Ya lah, betul kata bapak aku dulu . . . aku manusia biasa . . . kenalah hidup cara biasa . . . aku manusia biasa . . . aku manusia biasa."

Dan, dengan serta merta aku sedari bahawa . . . singkatan AMB itu amat sesuai dipenuhkan supaya bermaksud "Aku Manusia Biasa".


Maka aku pun mendapat inspirasi untuk mencoretkan sesuatu tentang aku sebagai manusia biasa . . . AMB.






Kesederhanaan
dalam mengharungi aliran hidup






Alhamdulillah














Bamuda
dsuarang.blogspot.com
Nuffnang Ads

Wednesday, August 7, 2019

Kenangan 2009: Permainan Bahasa Abby Fana







Assalamualaikum 



'Rojak' 
Yes and/or No


Permit me to use both English and Bahasa Malaysia (mix a bit & campur sana sini or now they term it 'bahasa rojak'--> Mohon maaf kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada ramai kawan-kawan saya di sana sejak dulu hingga sekarang ...) for this particular piece of blog. I hope readers proficient in any one of or both the languages will be comfortable with this kind of "not so academic" writing.

Sebenarnya saya ingin menyentuh sedikit tentang segmen permainan bahasa yang diselitkan oleh Abby Fana DJ Radio Sinar FM dalam acaranya pada pagi Rabu 11 November 2009. Ketika itu saya sedang berada (dalam kereta saya) di tempat letak kereta sambil menunggu anak saya menyelesaikan urusannya di sebuah kompleks kerajaan.

Saya mendengar Abby meminta para pendengar memberi seberapa banyak perkataan (Bahasa Malaysia) yang jika dieja terbalik akan mendatangkan makna yang lain. Perkataan itu mestilah terdiri daripada lima huruf. Maka para pendengar pun memberi respons mereka melalui sms. Apa yang menarik ialah mereka secara spontan dapat memberikan jawapan yang baik (walaupun kadangkala ada yang tidak mengikut arahan penggunaan huruf,nama tempat, nama orang dsb.)

Namun apa yang terserlah ialah rakyat 1 Malaysia tetap prihatin dalam soal bahasa kebangsaan kita dan tetap tidak lupa dengan keindahan Bahasa Malaysia walaupun mereka rata-rata dikatakan banyak menggunakan "bahasa rojak" oleh pihak-pihak tertentu. Apa yang menjadikan perkara sebegini amat menarik ialah cara bersahaja pengajaran sesuatu bahasa dapat disampaikan kepada khalayak ramai walaupun permainannya mudah dan mungkin dikatakan tidak akademik oleh golongan-golongan tertentu.

Syabas Abby dan syabas Sinar FM. Pihak lain juga harus memikirkan cara-cara mudah mempelajari dan memberi perhatian kepada sesuatu bahasa yang hendak diketengahkan. 'Alah bisa tegal biasa' dan memang 'Tak kenal maka tak cinta'!

Contoh permainan perkataan yang dapat saya ikuti hari itu:

'marah' diterbalik jadi 'haram'
'harus' diterbalik jadi 'surah'
'tikar' diterbalik jadi 'rakit'
'salam' diterbalik jadi 'malas'
'karam' diterbalik jadi 'marak'
'parah' diterbalik jadi 'harap' dsb

ada juga pendengar yang memberi nama orang
yang diterbalikkan menjadi seperti contoh berikut:

'limah' menjadi 'hamil'
'halim' menjadi 'milah'

'minah' menjadi 'hanim'
'munah' menjadi 'hanum' dsb

ada pula para pendengar yang tetap memberi lima huruf untuk diterbalikkan tetapi tidak mengikut syarat yang Abby tetapkan. Contohnya:

'malam' tetap jadi 'malam'
'tamat' tetap jadi 'tamat'
'makam' tetap jadi 'makam' dsb

dan ada juga para pendengar yang memberikan perkataan tiga huruf seperti contoh berikut:

'ini' 'isi' 'ada'

tapi paling hebat ada pendengar yang memberikan perkataan lima huruf dalam bahasa Melayu yang bila diterbalikkan menjadi perkataan Inggeris. Contohnya:

'niaga' (bahasa Melayu) diterbalik menjadi 'again' (bahasa Inggeris)

Tahniah kepada Abby kerana telah berjaya mencungkil bermacam gelagat dan ragam manusia melalui permainan bahasa yang mudah seperti itu. Learning without pain... but then they say ... No pain no gain. Apa-apa sajalah!

Tentu ada banyak lagi perkataan sedemikian yang boleh para pembaca fikirkan dan berkongsi pula dengan saya pada masa-masa yang akan datang.

Apa pun saya ingin mengutarakan pertanyaan-pertanyaan berikut kepada para pembaca (termasuk Abby)jika sudi memasuki blog ini dan melayan permainan perkataan yang saya turunkan sedikit di bawah ini:

1. Tentang perkataan yang diterbalikkan:

'ulat' kalau diterbalikkan jadi apa?
'nanak' kalau diterbalikkan jadi apa?
'igig' kalau diterbalikkan jadi apa?
'susu' kalau diterbalikkan jadi apa?

senang saja jawapannya ya tak!

2. Tentang panggilan bagi pelaku-pelaku berikut:

(a) orang yang menyanyi kita panggil ...?
(b) orang yang mengail kita panggil ...?
(c) orang yang menari kita panggil ...?
(d) orang yang menyapu kita panggil ...? (jawapan ini mungkin salah)
(e) orang yang mencuci kita panggil ...? (jawapan ini pun boleh mengelirukan)
(f)(orang yang mencuri pula kita panggil ...? (mudah saja jawapannya ... cubalah)

Blog ini mengalu-alukan idea permainan bahasa yang bernas sambil menghiburkan.

Bersantailah sambil berfikir... Cheerio till we meet again.

comment: 

rb said...

Assalamualaikum abah, Tahniah sebab abah dah buat satu blog yang pada dasarnya simple tetapi kandungan yang menarik. Secara peribadi saya berpendapat penggunaan'bahasa rojak' oleh orang ramai dalam kehidupan harian bukanlah satu 'kesalahan yang tidak boleh dikecualikan' tetapi lebih bersifat keperluan. Tetapi bukanlah bermakna bahasa 'boleh dijadikan  rojak (kenapa bukan bubur)' setiap masa tetapi bergantung pada keadaan, masa dan majlis.
Sebagai conthoh, cuba bayangkan sekiranya kita menggunakan bahasa 'formal' dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan, apakah reaksi dan komen yang akan diberikan? Memang diakui adakalanya penggunaan 'bahasa rojak' pun juga mengelirukan dan 'menyakitkan'hati.
Saya masih teringat kisah Along tentang Mr Po dan Abg Hairi. Mr Po :Ini Olang hati busuk! penggunaan ayat sebegini silap gaya boleh membawa 'maut' pada si penutur.
Kesimpulanya, bahasa bagi saya adalah 'universal' dan sentiasa berkembang..Selalunya untuk keperluan...kadang-kadang untuk 'show off' dan jarang-jarang dieksploitasikan demi kebaikan... p/s Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengulang dan atau menyiarkan di mana-mana tanpa membincangkan isu royalti terlebih dahulu...hahaha Sekian...rb 13/11/2009 4.39 pm

0 comments:


Post a Comment










Kuching Remembered


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Sayang Sarawak

[Khamis 11 Jun 2009]




Waterfront Kuching
yang teman lewati
sedang hari menjelang senja
tidak pernah ada
tidak pernah wujud sehebat sekarang
ketika teman datang ke bumi kenyalang
dulu pada tahun 1985
jarak waktu yang sudah terlalu lama …
kini benak teman
diterpa nostalgia masa silam
rencam tetapi masih tidak kelam …
petang ini terlihat,
Sungai Sarawak tetap gah mengalir
bertali arus airnya menuju ke hilir
seperti lakunya pada waktu itu
memang resamnya sejak dahulu;
Sungai Sarawak halus berseni
menjalinkan irama syahdu dan harmoni
melakar banyak peristiwa
membendung rahsia milik dunia ;
Sungai Sarawak seolah-olah
menggabungkan kepelbagaian
ke dalam suatu gubahan melodi harapan
buat pedoman insan
seperti anak menantu teman,
Anum dan Roy,
yang baru merentas gerbang perkahwinan …
dan mudah-mudahan mendapat semulia-mulia anugerah
daripada ALLAH!



Isnin Jun 22, 2009

Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Monday, August 5, 2019

Kisah Telur

Assalamualaikum



Quotation:

"It may be hard for an egg to turn into a bird: It would be a sight harder for it to learn to fly while remaining an egg. We are like eggs at present. And you cannot go on indefinitely being just an ordinary, decent egg. We must be hatched or go bad."
                                                                                   C.S. Lewis 


Maksud yang tersirat:

Sebutir telur burung tidak mudah berubah sifat menjadi seekor burung.  Si telur tadi tentu susah pula hendak belajar terbang selagi ia kekal dalam bentuk sebutir telur. Kita umpama telur sekarang ... dan kita tak boleh terus-terusan menjadi telur yang biasa-biasa saja selama tempoh yang tak menentu. Kita mesti dieram. Ditetaskan. Dizahirkan. Jika tidak kita mungkin langsung merosot ke tahap paling teruk ... hingga menjadi telur tembelang!



Mesej mudah:

Tiap-tiap seorang daripada kita mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri. Bakat dan kebolehan ini harus diketengahkan agar tidak terpendam dan tersia-sia selama-lamanya. Pembaziran merugikan. 

Sesuatu harus diusahakan untuk merealisasikan impian seseorang ... tidak kira yang berpunca daripada sekecil-kecil bakat hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Belum cuba belum tahu! 

Namun usaha begini tetap ada had dan syaratnya. Jangan campur adukkan kisah telur dengan bakat. SIAKAP, SENOHONG, GELAMA, IKAN DURI ...

Sama sekali tidak serasi!







Bamuda 

dsuarang.blogspot.com