Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia
Puisi Penghargaan
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam menyambut Ma'al Hijrah 1431 kepada semua pada hari yang mulia ini. Mudah-mudahan Allah memberkati segala kebaikan yang kita lakukan.
Dan, hari ini juga saya ingin mengembalikan kenangan (sedikit cerita nostalgia) di Asrama Putera, Jalan Suleiman, Kuala Lumpur. Ketika menjadi penghuni asrama selama lima tahun pada tahun-tahun 60-an, banyak ilmu dan pengalaman tentang asas kehidupan telah saya dapati daripada pergaulan yang sihat dengan kawan-kawan di situ. Suatu perolehan yang paling ketara ialah tentang 'kesetiakawanan'. Perkara ini terbentuk secara 'natural' hari demi hari ... dan nyatalah semangat ini telah terpahat dan kekal dalam diri kami masing-masing tanpa paksaan sepanjang tahun demi tahun yang berlalu.
Baiklah ... di sini saya paparkan secara ringkas semangat yang sedemikian. Paparan ini dalam bentuk sebuah puisi. Saya mendapat ilham menulis puisi ini setelah bertemu semula dengan kawan rapat seasrama yang kami semua panggil Jamil (ramai yang tak tahu nama sebenar beliau Mat Sanin ... glamour tu...). Pertemuan semula kami di rumah saya tercetus daripada suatu panggilan telefon oleh Harun Saeran kepada saya. Harun (abang Jamil yang juga kawan rapat saya di asrama dulu) menelefon saya ketika saya berada di Kuala Kubu Baru, Selangor. Beliau mendapat nombor telefon saya daripada seorang lagi penghuni Asrama Putera dahulu (semestinya geng rapat juga) Ghazali Kamaruddin.
[Tiga jejaka perasan hebat 60-an posing kat depan asrama. Kiri ke kanan: Zali, Majid dan Jamil]
Sebenarnya Ghazali dan saya memang tidak putus hubungan sejak meninggalkan asrama. Kami selalu berjumpa. Kami juga sering bertelefon. Keluarga kami pun saling mengenali rapat antara satu sama lain. Kebetulan baru-baru ini Ghazali uzur sedikit (sekarang dah beransur pulih di rumahnya di Gombak).
Dan ... pada suatu hari dalam bulan Oktober 2009 ... Jamil meminta saya menunjukkan arah ke rumah Ghazali. Jamil ingin bertemu Ghazali setelah sekian lama tidak berjumpa. Maka selepas pertemuan itulah saya menuliskan puisi ini ... yang telah saya serahkan juga kepada mereka berdua sebagai tanda ingatan persahabatan kami.
Maka berikut dipaparkan puisi yang tak sepertinya sebagai tanda sedikit pengertian tentang 'kesetiakawanan'. Harapan saya kawan-kawan seasrama dahulu (yang belum dapat ditemui) akan tampil ke hadapan menjalinkan semula perhubungan yang telah begitu lama terputus (lebih daripada 40 tahun?) Mungkin boleh kita adakan suatu "get together" dalam masa yang terdekat ... Insya Allah.
Imbauan Nostalgia
(Asrama Putera)
Sekitar 1960-an
tiga pelajar menengah
sekolah kerajaan
menjadi pemastautin
sepenuh masa
sebuah asrama
khas untuk bumiputra
di tengah kota
Kuala Lumpur bandar keramat
Jalan Suleiman lokasinya tepat ...
di situ
tempat tiga sahabat bertemu
tinggal sebumbung menimba ilmu
timba punya timba
banyak jugalah yang dapat ...
pengetahuan bermanfaat,
hingga kini terhasil berkat!
Zali, Jamil dan Majid
ibarat adik beradik
yang walaupun ketika itu
belum begitu cerdik
tetap membuat persediaan
bakal menghadapi masa depan ...
... dan, Alhamdulillah
'pabila dipertemukan sekarang
ternyata masing-masing
dah jadi ORANG!
Namun yang paling utama
pahit manis pengalaman
di Asrama Putera
telah banyak mengajar
tiga sahabat
mengharungi cabaran kehidupan
menghargai keakraban persaudaraan
menyanjungi erti persefahaman
dengan semangat kesetiakawanan
yang kental berkekalan ...
Sekian
Blog @: Bamuda d'SUARANG
No comments:
Post a Comment