Monday, June 14, 2010
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Terbukti Sejati
Telah lama aku perhatikan. Sejak zaman kanak-kanak lagi. Lama tu. Apa yang aku perhati? Apa yang aku amati? Apa pula kesimpulan sendiri yang aku perolehi ?
Sesungguhnya, mungkin jauh lebih lama daripada itu. Mungkin sejak zaman tok nenek kita lagi! Ketara sangat orang kita ni susah hendak mengucapkan kata-kata menyayangi seseorang khususnya orang yang amat dekat dengan mereka. Aku sendiri (sepanjang ingatanku) tidak pernah mendengar ucapan atau kata-kata "sayang" daripada bapa, dan adik beradik atau ahli-ahli keluarga terdekat yang lain. Ibuku jauh sekali! (Emak pergi dahulu buat selama-lamanya ketika aku berusia lebih kurang 5 tahun. Bukan salah Emak.)
Kata sesetengah bijak pandai tentang hal-ehwal kekeluargaan (lebih tepat hubungan antara ahli-ahli keluarga terdekat) keadaan begini wujud kerana ramai yang "malu" menyatakan perasaan masing-masing secara jelas dan ikhlas! Ada juga yang berkata keadaan ini disebabkan ramai yang menganggap pernyataan kasih sayang (khususnya antara orang yang terdekat hubungannya dengan seseorang) sebagai sesuatu yang "remeh" dan sudah menjadi "lumrah" diterima secara "faham-fahamlah sendiri". (Apa kata Omputih tu . . . something always taken for granted . . .) Ada pula yang takut dicap "mengada-ngada" andainya menunjukkan kasih sayang secara terbuka kepada ahli-ahli keluarga mereka sendiri. Entahlah. Wallahuaklam.
Aku yang sudah melalui fasa tersebut di atas selalu terfikir bahawa zaman itu sudah berlalu dan tidak payah diingat-ingatkan kembali. Sebaliknya, setakat yang terdaya dari segi perasaan (kerohanian) dan mampu dari segi kebendaan (material) aku harus mengubah kebiasaan dalam hubungan kekeluargaan aku sendiri kepada sesuatu yang lebih bersifat rapat, mesra dan bermakna. Pendek kata aku harus menunjukkan dan menyatakan perasaan kasih sayangku terhadap mereka yang paling rapat hubungannya denganku dengan cara yang jelas dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau malu! Itu cara aku. Orang lain tentu ada cara mereka yang tersendiri. Terpulang . Terserah. " Rambut sama hitam, hati lain-lain," kata bidalan.
Melalui penulisan ini aku ingin menyatakan untuk kesekian kalinya kepada ahli-ahli keluargaku bahawa aku, "Sentiasa Sayang Akan Kalian." Aku seterusnya berharap kalian dapat pula mencurahkan kasih sayang kalian kepada keturunan kalian nanti dengan cara yang jelas dan ikhlas lagi bijaksana, tanpa ragu atau malu! Insya-Allah.