Thursday, November 25, 2010

Dirgahayu DYMM 'Tuanku'




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Nota kenangan dan penghargaan buat Permaisuri berjiwa rakyat


Penulis dengan segala hormat takzimnya merafak sembah menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang kini bergelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Raja Permaisuri Johor).


Tajuk berita muka hadapan Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010


Baginda Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran DYMM 'Tuanku' kepada Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52 pada 22 November 2010 bersamaan 15 Zulhijjah 1431H.



Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010


Penulis terpanggil untuk menulis nota ringkas dalam blog ini kerana teringat akan waktu berurusan rasmi dengan (pada ketika itu) YAM Raja Zarith Sofiah pada tahun 1994/95 dahulu. Ketika itu Raja Zarith Sofiah masih belum bergelar DYMM Tuanku (Permaisuri). Baginda isteri kepada DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ibrahim Iskandar yang kini sudah bergelar DYMM Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.

Waktu itu penulis bersama pengarang buku Sejarah Johor, Datuk Shaharom Hussain, Pengarah Penerbitan OUP/PFB, Drs Ahmad Fadzil Yassin dan Pengarah Rekabentuk, Charles Yeoh dipelawa ke Istana Pasir Pelangi untuk menguruskan tugas penerbitan buku yang ada kaitannya dengan pihak istana itu. Kami dijemput makan tengah hari bersama baginda di Istana Pelangi, Johor Bahru. Suatu penghormatan yang kami sanjung tinggi! (Rujuk: Entri blog Kenangan di Istana Pasir Pelangi, Thursday, June 10, 2010).


Dari kiri: Datuk Shaharom Hussain, Raja Zarith Sofiah,
Drs Ahmad Fadzil Yassin & Abdul Majid Baharom


Raja Zarith Sofiah seorang yang mudah didekati dan mesra didampingi. Kami tidak menghadapi sebarang halangan atau kesukaran dalam tugas rasmi kami sepanjang berurusan dengan baginda itu.

Baginda amat bersedia dan jujur dalam memberikan kerjasama dan sokongan terhadap projek yang dijalankan. Raja Zarith Sofia bijak berbicara dan cekap berurusan. Keramahan dan kemesraan baginda dapat kami rasakan ketika baginda berbincang mahupun berbual-bual dengan kami sama ada di ruang tamu ataupun di meja makan. Baginda amat bersahaja bercakap-cakap sambil menjamah makanan yang terhidang. Baginda juga nyata amat berpengetahuan dan bijaksana dalam hal berkaitan nilai-nilai estetika.


Dari kiri: Datuk Shaharom Hussain, Drs Ahmad Fadzil Yassin,
Raja Zarith Sofiah & Abdul Majid Baharom


Seperkara yang terpahat dalam ingatan penulis . . . Raja Zarith Sofiah memang tajam keprihatinan baginda berhubung soal artistik mahupun estetika. Ini terbukti secara terbuka ketika pembantu istana menyediakan pinggan mangkuk untuk mengisi hidangan makanan kami pada tengah hari itu.

Baginda penuh berdiplomasi menegur pembantu istana apabila baginda terlihat dari jauh bahawa corak atau bunga pada pinggan yang bakal menjadi tempat menghidang makanan itu tidak sama bentuk atau warnanya. Pada hal perbezaannya sedikit cuma. Tidak akan ketara langsung kepada mata yang 'biasa-biasa'.



Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah
Foto 1994/95


Maka tidak hairanlah jika baginda juga amat artistik dan prihatin terhadap segala detail karya atau hasil penulisannya. Kalau tidak silap penulis, baginda sedang berbicara tentang beberapa halaman lukisan untuk buku cerita kanak-kanak/klasik yang agak mewah penerbitannya pada ketika itu.

Setelah hampir seharian berurusan dengan baginda Raja Zarith Sofiah, penulis dan rakan-rakan membuat kesimpulan yang hampir serupa nadanya. Baginda Raja Zarith Sofiah sememangnya layak digelar Raja mesra rakyat . . . dan tentunya sekarang ini bertambah sesuailah baginda diberi gelaran DYMM Tuanku (Permaisuri) mesra rakyat.


Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia
Selasa 23 November 2010


Alhamdulillah, semoga rakyat bertambah sayang kepada DYMM Tuanku. Semoga negeri Johor khasnya dan negara Malaysia amnya mendapat manfaat daripada keprihatinan Tuanku terhadap masaalah rakyat jelata dan kebijaksanaan Tuanku mengendalikan urusan kebajikan mereka.

Dirgahayu Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.


Penulis ingin mengakhiri penulisan entri ini dengan memetik serangkap pantun daripada sebuah buku pantun kanak-kanak karya Kak Azah Aziz, seorang budayawan terkenal di negara kita:

Banyak ubi bernama ubi,
Ubi yang mana ditanam orang?
Banyak budi bernama budi,
Budi yang mana dikenang orang?

Memetik dan menyesuaikan serangkap pantun lagi daripada koleksi Kak Azah Aziz dalam bukunya Kenangan Budi maka jawapan kepada pantun di atas tentu saja begini:

Tanam lagundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi Tuanku patik tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.









dsuarang.blogspot.com


0 comments:

Nuffnang Ads

No comments: