Thursday, February 17, 2011

Berpantang Maut Sebelum Ajal



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kebesaran Kuasa Allah SWT



Apa sahaja yang dikehendaki-NYA terjadi . . . pasti terjadi. Begitu maha besarnya kuasa Allah SWT.





{Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu benda, hanyalah ia berfirman kepada hakikat sesuatu itu: " Jadilah engkau!" maka terus benda itu menjadi.}



Sudah banyak bukti kejadian dipertontonkan kepada kita hamba yang kerdil di muka dunia yang fana ini. Seharusnya kita ambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang amat luar biasa begini . . . dan kita jadikan panduan untuk hidup dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran .

Aku memulakan penulisan ini dengan nada sedemikian kerana aku sendiri telah melihat banyak kejadian 'aneh' berlaku tanpa diduga. Aku dan isteriku Alimah pernah punya pengalaman tersendiri dalam perkara yang pada pemikiran biasa pasti dianggap 'mustahil' boleh berlaku. Biarlah ia berlalu. Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Kalau hendak ditimbang-timbangkan dari segi logik . . . banyak perkara atau kejadian yang 'aneh' atau 'pelik' . . . tidak mungkin boleh terjadi dalam gaya hidup yang makin serba canggih di muka bumi ini. Namun ia tetap berlaku. Mengapa demikian? Jawapannya jelas seperti di atas. Sudah terang lagi bersuluh.

Apapun, aku ingin memaparkan secebis kisah tentang kebesaran kuasa Ilahi. Kisah 'Berpantang Maut Sebelum Ajal.' Kisah Lt Muda Basri Omar {kini Lt Kol (B) Hj Basri bin Hj Omar} yang diberitakan terkorban dalam misi membersihkan kawasan sempadan Malaysia-Thailand daripada angkara bahaya jerangkap samar / periuk api akibat kedurjanaan musuh negara. Peristiwa yang dimaksudkan berlaku pada 25 April 1976.





Keratan Akhbar Utusan Melayu 03 Jun 1976



Basri terkena ledakan jerangkap samar / periuk api ketika bertugas membersihkan jerangkap samar / periuk api daripada kawasan hutan berbukit bukau dan berterowong buatan manusia di sekitar kawasan Gubir di Kedah. Beliau diberitakan meninggal dunia di hospital Pulau Pinang kerana kehilangan banyak darah akibat terkena jerangkap samar/periuk api yang dipasang pengganas komunis dalam sebuah terowong.

Apabila mendapat berita itu . . . keluarga isteriku (Alimah Md Yasin) di Bukit Sebang, Melaka tentu sahaja berasa amat terkejut dan sugul. Maklum . . . Basri adalah kawan karib adik iparku Aziz . . . juga seorang pegawai tentera ketika itu . . . (kini Mejar (B) Hj Aziz bin Hj Yasin).

Lagipun Basri telah mengenali . . . malah amat mesra dengan hampir semua ahli famili Yasin Ahmad dan Maimunah Mahat (bapa dan ibu mertuaku). Basri yang masih bujang ketika itu juga sudah menjadi kenalan mesra aku.



Keratan Akhbar Berita Harian 02 Jun 1976


Sebaik sahaja menerima berita buruk itu, ibu dan bapa mertuaku pantas mengadakan majlis tahlil arwah untuk Basri pada malamnya di rumah mereka di Bukit Sebang. Itulah yang dapat mereka lakukan. Itulah tanda simpati mereka terhadap keluarga Basri yang diselubungi keadaan pilu di utara tanah air pada waktu itu. Itulah tanda kasih sesama insan.
Namun . . . andai belum sampai ketika dikehendaki-NYA . . . sesuatu perkara yang sudah difikirkan pasti pun akan tersilap di mana-mana. Rupa-rupanya Basri masih hidup walaupun dengan kecederaan yang amat parah akibat ledakan bom jerangkap samar / periuk api itu.

Alhamdulillah . . . Basri selamat. {"Nasib baik Basri hanya cedera parah." Orang kita sering membuat ungkapan positif dalam hal-hal semacam ini. Begitulah . . . sudah menjadi seperti satu norm dalam komuniti kita . . . sudah musibah pun masih dikatakan bernasib baik!}




Keratan Warta Tentera Malaysia Jun 1976


Tentu ada hikmahnya perkara ini terjadi . . . fikirku. Mesti ada kebaikannya Allah mahukan Basri terus hidup. Dan . . . {over the years bak kata jiran omputih aku yang kadang-kadang terlalu prihatin sampai tahap terover} aku dapat memerhatikan bahawa beliau menjadi tonggak yang mengasaskan kebangkitan dan kemajuan keluarganya dari masa ke masa!

Basri pula ada bercerita tentang Allahyarham ayahandanya Tuan Hj Omar bin Hj Ismail yang pernah berpesan kepada beliau lama dahulu . . . Bunyi pesanannya kira-kira begini:

"Bagilah mengaji anak-anak dengan baik . . ."

Betapa sesuainya pesanan itu walaupun telah diperkatakan lama dahulu. Maka aku cenderung untuk membuat kesimpulan mudah bahawa ini merupakan salah satu sebab Basri dipanjangkan usia oleh Allah SWT . . . untuk memikul dan melaksanakan amanah menjaga keluarganya dengan sesempurna mungkin . . . pada masa 'muka' dalam kehidupannya. Wallahuaklam.













dsuarang .blogspot.com

No comments: