Tuesday, June 25, 2013

Mensyukuri Nikmat






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Contohi Kanak-kanak?


Menunggu tiba detik mula berpuasa pada bulan Ramadan tahun ini . . . yang bakal berlaku beberapa hari sahaja lagi . . . aku teringat akan kisah bertarawih dan bertadarus . . . dan tidak ketinggalan juga kisah berbuka puasa dan 'moreh' di Masjid Alam Shah, Circular Road/Pasar Road, Kuala Lumpur (sekarang dikenali dengan nama Masjid Jamek Alam Shah, Jln Tun Razak/Jln Pasar, Kuala Lumpur.)


[Photo to come]


Waktu itu aku budak-budak lagi. Usiaku kira-kira 8-10 tahun. Aku memang biasa dengan masjid ini. Masjid  yang amat berkesan dalam ingatanku sebagai warga kariahnya.

Masjid Alam Shah ini sinonim dengan Sultan Hisamuddin Alam Shah yang menjadi Sultan Selangor ketika itu. Al-marhum Tuanku Hisamuddin Alam Shah kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua. 

Al-marhum Tuanku Hisamuddin Alam Shah ialah ayahanda kepada Al-marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-11) . . . dan nenda kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah (Sultan Selangor sekarang).

Masjid Alam Shah yang asal dibina pada tahun1950 dan siap pada 1951. Sultan Selangor ketika itu sendiri merasmikan pembukaannya. 

Kalau tak silap aku . . . Sultan Brunei ketika itu . . . Sir Omar Ali Saifuddien III pernah melawat masjid ini bersempena hari pengisytiharan kemerdekaan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) pada tahun 1957. 

Baginda dan rombongan sempat bersolat Jumaat di Masjid Alam Shah ketika itu.

Aku tidak pernah dan . . . In Sha Allah, tidak akan melupakan madrasah dalam kawasan bersebelahan Masjid Alam Shah ini . . . tempat aku mula menimba ilmu mengaji Quran dan belajar asas-asas keagamaan Islam. 

Ketika itu aku tinggal bersama ayahandaku Allahyarham Hj Baharom Mohd Shariff  di Jalan Nakhoda Yusuff , Kg Pandan Govt Quarters, Kuala Lumpur. Ayahandaku mantan pegawai perkeranian di Jabatan Telekom.






Baharom bin Mohd Shariff


Anak Sulung Tok Shariff di Malaysia




Seorang Ketua Keluarga . . .

yang tegas




lagi disegani


Masjid Alam Shah terletak kira-kira setengah batu dari rumahku. Aku sering ke sana . . . berjalan kaki sahaja. Ramai kawan-kawanku di situ dan aku seronok setiap kali bertemu mereka di madrasah atau di masjid . . . lebih-lebih lagi pada setiap kali Ramadan. 

Aku masih dapat membayangkan wajah Tuan Imam Masjid Alam Shah ketika itu . . .  Hj Abdul Wahab dan  beberapa orang AJK masjid . . . termasuklah Hj Che Yet, Hj Mohd Sanam, Hj Talib, Hj Zainal Abidin, Hj Sidin, Hj Omar, Hj Sutan Aman, Hj Abdul Aziz . . . dan ramai lagi.

Semua mereka ini sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan 'kerohanian' agamaku . . . khususnya pada peringkat awalan aku mengenali asas  keagaamaan. Al-Fatehah untuk roh mereka semua. Amin.

Aku masih ingat bagaimana kami anak-anak kariah disuruh bertadarus selepas bersolat fardu dan bertarawih  di Masjid Alam Shah setiap kali Ramadan tiba. 

Kami diberikan 'markah' . . . dan berdasarkan 'markah' inilah 'hadiah' untuk kami disediakan.

Semua kami tentu sahajalah seronok. Maklum pada setiap akhir bulan Ramadan sebelum berhari raya Aidilfitri . . . kami akan diberi 'duit raya' . . . 10 - 15 ringgit! 

Wah memang besar nilai 10-15 ringgit bagi kami pada waktu itu. Girangnya hati tidak terkira. Dapat berbelanja untuk hari raya!






Menyambut Hari Raya Aidilfitri
di Kg Pandan Govt Qrs (1950-an)

Dari kiri: 
Bang Ngah Ismail Baharom, Acek Tahir (Cikgu Shamsuddin
 Hamzah), Pakcik Jamaluddin (jiran), Pak Anjang Lokman Mohd 
Shariff, Abg Kamaruddin Zainal Abidin (jiran) & Penulis. 

[di belakang: 'Debot' jiran]



Demikian sepintas lalu kisah kami anak-anak menyambut dan memenuhi tuntutan Ramadan dahulu. 

Setelah dilatih berpuasa dan beribadat pada siang hari . . . kami paling teruja apabila berbuka puasa dan menghadiri 'moreh' (jamuan makan ala kenduri beramai-ramai di masjid) pada malamya. 

Sungguhpun (kalau mengikut ukuran sekarang) makanan yang terhidang (dalam 'moreh') tidaklah seberapa . . . biasanya sedikit kuih muih dan roti 'benggali' yang dimakan bercecah gulai daging kari . . . namun kami (kanak-kanak masa itu) tetap menikmati segala apa yang dihidangkan itu dengan penuh kegembiraan.

Penuh kesyukuran. No complaint . . . cakap omputihnya!

Apa yang terngiang-ngiang di telingaku hingga ke hari ini ialah kata-kata umpat keji dan rungutan orang dewasa dan orang tua-tua dalam majlis Ramadan di kala itu . . . seperti 'tak sedap', 'tak manis', 'tak masin', 'pakai boleh', 'pakai ada', 'ini saja?', 'tak ada lain ke?' . . . dan berbagai-bagai kata celaan lagi!

Aku juga terkenang akan kata-kata Allahyarham ayahanda Hj Baharom lebih kurang begini:

"Kalau nak bagi makan . . . bagi budak-budak senang. Tak banyak cerita.  Tak banyak ragam. Orang tua banyak komplein . . . banyak mengada-ada. Tak kira di surau atau masjid . . . itu tak kena ini tak kena . . . tapi sapu . . . licin juga!"

Aku menghalusi pengertian kata-kata itu. Benar juga apa yang pernah diperkatakan bapaku dulu.


Foto hiasan . . . 
kanak-kanak sedang menikmati aiskrim 











senang dan riang



Aku terfikir, "Agaknya budak-budak berhati tulus dan lurus.  Masih berperibadi halus . . .  masih belum tercemar pemikiran . . . beri makan mereka makan!"



tulus dan ikhlas







bersyukur puas


Orang dewasa berhati keras dan bengkok? Beri apa pun tak pernah puas . . . tak pernah elok!

Jadi sekarang . . . siapa harus mencontohi dan siapa pula dicontohi? 

Ha . . . ah


 Lihat . . .
(tanpa sebarang rungutan atau caci cela) 
beginilah mudah dan gembiranya mereka! 


Kita ambil saja iktibar daripada keberkatan di bulan Ramadan . . . Kami mohon sahaja hidayah daripada-Mu  Tuhan . . . 





bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: