Sunday, May 4, 2014

Tinggal Kenangan






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Vakum di Mana-mana  


Jam menunjukkan pukul 2:30 ptg waktu tempatan. 

Aku, Alimah, Halim, Hazry dan Marlyana baru sahaja sampai di rumah kami dari Taman Seri Segambut.

Tadi kami sekeluarga telah menghadiri suatu majlis membaca surah Yasin dan bertahlil arwah. 

Majlis diadakan khusus bagi mengenang sebulan berlalunya tempoh pemergian Almarhum Tuan Hj Lokman bin Mohd Shariff menghadap Allah SWT.

Aku tiba-tiba terkenang akan bapa saudaraku . . . Hj Lokman ini . . . yang aku panggil Pak Anjang.

Selalunya . . . beliau sendiri yang akan menyambut kedatangan aku ke rumahnya. 

Setiap kali aku tiba dan memarkir keretaku di hadapan rumahnya, beliau akan membuka pintu pagar untuk mempersilakan aku masuk. 

Wajahnya kelihatan bersahaja. Namun nada keriangan sentiasa kedapatan terselit di sebalik kata-katanya menyambut kedatanganku: " Ha masuklah . . . !"

Tadi, ketika berada di rumah yang sering aku kunjungi di Taman Seri Segambut itu . . . aku terasa amat kehilangan. Vakum di mana-mana.

Wajah beliau tidak lagi kelihatan. Suara beliau tidak lagi kedengaran. Telatah beliau tidak lagi kewujudan.   

Kehadiran semangat beliau sahaja yang masih dapat aku rasakan melalui aura yang ditinggalkannya di Bagas Impian.

Di tengah-tengah ramai ahli keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai yang berkunjung datang menjayakan majlis membaca surah Yasin dan bertahlil arwah tadi aku amat terasa akan sesuatu 'kekosongan' yang melanda majlis.  

Cara dan nada suara Hj Lokman mengepalai bacaan surah Yasin dan bertahlil sudah tiada lagi. Sudah lenyap buat selama-lamanya. 

Aku sempat berbicara dengan anak-anak Almarhum Hj Lokman . . . dan dari nada dan warna bicara aku bersama mereka tadi . . . amat jelas mereka juga berperasaan seperti aku . . . atau mungkin tidak keterlaluan jika aku andaikan lebih 'parah' kepiluan dan kekosongan yang mereka rasakan berbanding aku!

Akhirul kalam kali ini ingin aku petik maksud kata-kata Johari menantu Almarhum Hj Lokman:

"Abah tak pernah menunjukkan sifat amarah kepada kami . . . especially anak menantunya. Dia seorang yang baik dan tidak cerewet . . . Susahlah nak ikut macam cara dia. Kalau dia datang ke rumah kami . . . dan hendak minum cendol . . . kami belikan dan hidangkan saja. Abah akan menikmati hidangan kami itu tanpa banyak bicara. Begitulah mudahnya cara dan gaya hidup Abah . . . "

Perasaanku bertambah terusik dengan pengakuan begitu. Memang aku juga amat mengenali beliau . . . bukan sahaja sebagai seorang bapa saudara tetapi juga sebagai seorang sahabat.

Insha Allah dapat aku bercerita lagi dalam keluaran yang akan datang tentang Lokman bin Mohd Shariff sebagai bapa saudara dan juga sahabatku. 

Namun dia yang pergi tetap telah pergi. Kita yang tinggal cubalah sebaik mungkin melaksanakan pesanan dan merealisasikan harapan dia yang telah pergi. 

Marilah kita sama-sama bacakan dan sedekahkan al-Fatihah sebanyak-banyaknya buat insan yang sama-sama kita sayangi ini . Insan yang bergelar Abah kepada anak-anaknya, Anjang kepada isteri dan adik-adiknya, Pak Anjang kepada anak-anak saudaranya,  Atuk dan Atuk Anjang kepada cucu-cucunya, Onyang kepada cicit-cicitnya. . . . dan Lokman atau Tuan Hj Lokman kepada kaum kerabat dan para sahabat handainya. 


Aku tak akan lupa sebaris kata-kata yang sering diucapkan beliau tentang kematian ketika ada hayatnya:

"Kalau anak-anak bagi Visa atau Mastercard pun . . . tak laku kat sana . . ."

Jadi kita fahamkanlah maksud yang tersirat bersama-sama dan . . . al-Fatihah yang berterusan buat Almarhum Pak Anjang. Amin. 




bamuda
dsuarang.blogspot.com

3 comments:

Raziff Lokman... said...

Terima kasih Abg Uda.

basri bin omar said...

Salam Uda!

Tk ats paparan ni....terasa BENAR apa yg di luahkan! Cuma itulah kenyataan yang AMAT PASTI....kita juga sedang menuju ke SANA cuma masa dan KETENTUAN Allah saja yg membezakan..Wallahu aklam...Al Fatihah buat Roh Almarhum Pak Anjang...AMIN!

Bamuda said...


Terima kasih kembali buat adinda Ajib dan adinda Basri . . . kerana sudi berkongsi perasaan dalam kepiluan ini. al-Fatihah . . . Amin.